Followers

Letakkan link blog anda =)

Friday, May 21, 2010

cerpen: Terusir

~Picture by Google~

"Pembersihan Etnik"

Itu yang aku dengar. Dari suara-suara yang menyampaikan. Aku tak tahu Etnik yang mana. Melayu, ataupun Islam. Yang aku tahu:

Kami, akan dibersihkan. Dibersihkan maksudnya dihapuskan. Dan dihapuskan hanya ada satu maksud,

Mati.

Daerah-daerah lain aku dengar sudah tiada. Hancur dek bom api yang memakan segala. Aku dengar, menara K.l hanya tinggal nama. Sejauh mana kebenarannya, aku tidak tahu.

Sekarang semua diarahkan berkurung. Berdiam diri. Ntah sampai bila.

Keadaan jadi darurat. Malaysia sekarang benar-benar sunyi.

Aku tak tahu sejauh mana kami telah diceroboh. Malam-malam, dapat jelas kedengaran bunyi tembakan dan letupan. Apapun, wilayah kami masih lagi selamat. Selamat untuk hari ini, esok... Aku tidak tahu. Dan kami terus meniti waktu.

Aku pejam mata. Berpeluh.Terbayang peristiwa 3 hari lepas. Sewaktu aku berjalan menyorokkan diri di bandar. Aku lihat sendiri kerakusan tentera laknat itu.

"Tolongg...tolong.."

Seorang wanita mengandung merayu meminta tolong. Bulat perutnya. Dia terseret di jalan. Dengan pakaiannya koyak rabak, menampakkan separuh badan. Air matanya berjejeran. Dia disepak-sepak. Ditendang-tendang oleh mereka yang beruniform hijau itu. Mereka sekadar ketawa.

Dan aku lihat, dengan mata sendiri. Seorang askar mengeluarkan pisau belati. Dengan giginya yang menyeringai.

"Zapp!"

Dia membelah perut wanita itu hidup-hidup. Merobek, kemudian mengeluarkan janin di dalamnya.
Wanita itu tergeletak sesaat. Matanya terbeliak. Sebelum perlahan-lahan matanya tertutup rapat.

Aku membuka mata perlahan. Benar-benar tak mampu untuk membayangi peristiwa itu sekali lagi. Tangan aku bergetar. Tak tahu bergetar kerana terlalu takut ataupun geram.

Dan sekarang kami di sini. Takut. Gementar. Resah. Itu rasa yang sebenarnya ada pada hati setiap orang di taman ini. Takut-takut bila Israel itu akan datang meragut keamanan kami.

****

"Bamm!"

Bunyi tembakan memecahkan kesunyian petang. Hati aku jadi cuak. Dari celah ruang tingkap, ternampak trak askar berjalan dengan penuh manusia anjing di dalamnya. Bunyi tayar menderu. Mereka menembak rambang.

Bunyi tingkap pecah. Askar yang kejam!

"Mak, ayah, adik! Cari tempat persembunyian! Cepat!"

Aku kelam kabut. Cuba sedaya upaya menyelamatkan diri dan keluarga. Tak sampai berapa saat. Pintu rumah kami ditendang. Pecah. Endor Blaster Rifle diangkat. Ditujukan ke arah kami.

Masuk 3 orang askar. Berjalan angkuh.

"Where is Su'aidi?!!" Kasar seorang dari mereka bertanya.

Di bajunya tertera nama. "George". Angkuh. Aku sudah mengepalkan penumbuk. Kurang ajar! Masuk tanpa izin, berlagak macam tuan rumah!

"There is no Su'aidi here! Get out from this house..!" Ayah menghalau.

"Heh.."

George tersengih, menurunkan riflenya. Mengeluarkan pisau belati.

"You, shit!" Pisau ditujukan laju dari tangan kanan. Terus perut ayah..

Ayah hanya berdiri diam. Menunggu serangan. Menampan keras dengan tangan kiri. Terus, laju memberi tumbukan ke perut George. George terduduk. Ayah ingin meneruskan serangan. Ingin memberi hentakan lutut ke muka apabila langkahnya terhenti.

Kepalanya diacu tepat senjata oleh rakan George. Terasa sejuk di kepala.

"Abang..! " Mak meluru.

George merentap tudung labuh mak. Mak tertarik. Jatuh ke bawah. George bangun.

"Hey, you!" Memegang kepala ayah. Menghantak keras dengan topi tenteranya.

Ayah terduduk. Darah mengalir. Melihat darah ayah membuatkan darah aku rasa ngilu. Bulu roma meremang. Celaka! Amarah aku pula kian memuncak. Menuju laju ingin menyerang.

"Berhenti Wan!.."

Langkah aku terhenti. Melihat mata mak. Mata mak sayu. Aku tahu dia tak mahu anaknya mati di depan matanya. George memegang baju belakang aku. Menarik tinggi. Menhempas ke luar pintu.

"All of You! Get out from this house! Or i will kill you!" George menyeringai. Menendang punggung aku ke luar pintu. Aku tersembam ke tanah.

Kami keluar. Adik aku berada di bawah meja tadi. Melihat kami bergaduh. Melihat ayah dihentak. Melihat mak direntap. Dia keluar menangis memeluk mak.

Aku lihat ramai yang sudah keluar. Jiran-jiran berkumpul. Mereka duduk bercangkung. Tangan diletakkan di atas kepala. Aku lihat ada mayat jiran aku di hujung. Matanya lebam. Bajunya penuh darah. Mesti dia memberontak tadi. Aku mendengus.

"I think you should tell me! Where Su'aidi now?!"

"Or.. all of u gonna die!" George mengancam. Melaungkan suara sekuat hati.

Aku pernah dengar nama Su'aidi. Dia adalah mujahid yang mengetuai perjuangan menentang Israel semenjak mereka masuk. Gerakan tersembunyi. Tapi dia memang tiada di sini.

"Please, let us go.. Su'aidi is not here.." Seorang penduduk merayu.

"Don't make me fool, rubbish!"

George hanya memandang sinis. Berjalan melihat setiap orang di situ. Tiba-tiba dia terhenti. Melihat ke arah Kak Sarah. Memandang penuh nafsu.

Muka Kak Sarah memucat.

Tersenyum. Dia memegang pipi Kak Sarah.

"You are so beautiful.. I will let all of you go if i get this girl.."

Nafsunya memuncak. Menjelir-jelir ghairah.

****

Ingatan aku terimbas pada 8 tahun lepas.

"Wan, kenapa sedih je ni.."

Aku mendongak. Owh, Kak Sarah.

"Kenapa apa yang Wan buat, selalu tak jadi? Selalu tak dapat ya kak?" Aku bermasam muka. Menyembunyikan tangisan sebenarnya.

Kak Sarah tersenyum.

"Itu tandanya Allah nak uji Wan.. Allah sayang Wan.."

"Allah sayang Wan?"

"Ya, Allah sayang Wan. Cuma Wan kena bersabar... Setiap perkara pasti ada hikmahnya"

Kak Sarah. Anak solehah kepada Pak Rahim ini manis orangnya. Bertudung labuh dan sentiasa tersenyum. Jubahnya yang beralun tika angin meyisir selalu melembutkan. Menyejukkan mata, menenangkan hati. Akhlaknya indah. Penyayang malah. Aku amat kagum padanya.

Dia jiran aku. Hanya sebelah rumah. Muslimah yang 7 tahun lebih berusia dariku. Hanya dengan aku, jirannya yang sudah dianggap adik sahaja dia bermesra dengan yang bukan muhrim.

"Wan nanti nak masuk Uia lah.."

"Erm? Kenapa Wan nak masuk Uia?"

"Wan nak jadi baik dan taat agama macam akak.. Wan nak jadi soleh juga"

Kak Sarah ketawa kecil. Comel.

"Wan tak perlu untuk masuk Uia untuk jadi soleh.."

"Maksud akak?"

"Letakkan Allah di hati Wan. InsyaAllah, kat mana Wan ada. Wan tetap akan jadi soleh."

Kak Sarah meletakkankan tangan di dadanya.

Wahai jiwa yang lembut. Semoga dirimu bahagia selalu. Aku selalu bercita-cita. Bila aku dewasa nanti, aku ingin mencari isteri seperti Kak Sarah. Punyai hati yang bening, mampu mengheningkan hati yang lain.

"Akak. bila kita akan dapat nikmat sabar tu ya?"

Kak Sarah menjeling.

"Berapa lama Wan dah tunggu?

"Lama.."

Kak Sarah menghadiahkan senyum nipis segaris.

"InsyaAllah, Wan akan dapat.. Kalau tak kat dunia. Pasti akan dapat di syurga nanti Wan. Bersabarlah ya.. Kerana sabar itu....."

"Kerana sabar itu?"

Kak Sarah senyum bergula.

"Kerana sabar itu cantik."

****

"You are so beautiful.. I will let all of you go if i get this girl.." George merenung wajah Kak Sarah.

Nafsu George memuncak. Menjelir-jelir ghairah.

"Jangan kau sentuh dia, syaitan!" Pak Rahim meningkah tangan George.

"Sarah, lari cepat!"

Sarah terketar-ketar. Berpaling. Ditangkap oleh rakan-rakan George. Mereka ketawa. Sarah mula mengalirkan air mata dalam takut.

"Jangan kau kacau anak aku!" Pak Rahim hilang kawalan. Terus menumbuk muka George. George mengelak sikit.

"Old Shit!"

Hulu senjata diangkat. Terus ditujah ke muka Pak Rahim. Pak Rahim terus jatuh tersungkur. Tersembam mulut menyentuh tanah. Kasar.

Kami kaget. Darah mula keluar dari mulut Pak Rahim.

"Ayahhhh!"

Melihat keadaan ayahnya, Rahman terus meluru laju. Wajahnya menggila menonton kakak dan ayahnya diperlakukan begitu.

"Heh.."

"Bang!"

Rahman terduduk. Melutut. Dia memegang perut. Terasa pandangan jadi kabur. Dia tersenyum. Tangannya terasa mengalir cecair hangat, darah. Merah. Peluru menembusi perutnya tadi.

Dia tersenyum lagi.

"Selamat tinggal... kak.."

Rahman rebah ke tanah.

"Rahmaaannn...!" Kak Sarah menjerit. Menangis.

Darah aku memuncak. Aku hilang kawalan.

"Yahudi celaka!"

Aku menerjah ke hadapan. Orang-orang di sekeliling aku menahan.

"Lepaskan aku!"

"If you still love that boy, take care of him carefully!" Seorang askar sinis menunjukkan senjata tepat ke dahi aku. Aku mendengus. Merenung tajam dalam pelukan orang ramai.

George memandang mayat Rahman hanya dengan hujung mata. Dia ketawa.

“No one will disturb me now..” George melonggarkan ikatan tali pinggang dan seluar askarnya. Tersenyum ghairah memandang Kak Sarah yang menangis menggigil.

Dia memegang kedua-dua lengan Kak Sarah. Menolaknya ke dalam rumah. Rakan-rakan George beberapa orang turut ikut sama. Yang lain, terus mengacukan senjata kepada kami. Memandang kami seakan kami ini haiwan belaan. George dan rakan-rakannya di pintu ketawa galak. Menutup pintu.

Dari luar, jelas kedengaran gelak tawa mereka. Bunyi koyakan baju. Bunyi jeritan Kak Sarah. Raungan kecil seperti sedang melawan. Kemudian menjadi bunyi deraman, seakan-akan mulutnya ditutup. Bunyi menahan kesakitan. Mengerang. Kemudian menjadi sunyi, sebelum perlahan terdengar esak tangis Kak Sarah.Tangisan sayu yang berpanjangan.

Tangisan sayu yang lama. Tangisan seorang wanita yang baru dirampas kehormatannya.

Sunyi.

George keluar. Membetulkan tali pinggangnya di muka pintu. Dia menjelirkan lidah, mengusap bibir dengannya. Seakan baru menikmati sebuah hidangan yang lazat.

"What a really tasty woman. She is still virgin. How lucky am i.. Hahaha" George ketawa terbahak-bahak.

Darah aku naik memuncak laju. Kepala aku seakan jadi ringan. 'Akal seperti sudah hilang arah panduan. Perkataan 'tasty' dan 'virgin' dari mulut Garry seakan-akan bara yang memuntahkan lava untuk aku.

"Letakkan Allah di hati Wan. InsyaAllah, kat mana Wan ada. Wan tetap akan jadi soleh."

Kak Sarah.

Wajah Kak Sarah yang redup, seakan jadi bayangan di mata. Aku mencapai pisau yang aku simpan. Menggila. Berlari sekuat hati menuju ke arah George dengan satu jeritan panjang.

Yang aku ingat,

Aku hanya nampak senyuman George. Dan hulu senapang yang kian membesar di mataku.

Sebelum segala-galanya menjadi gelap.

****

Langit gelap.

"Abang, sampai bila kita akan macam ni ya?" Tanya Karim, adikku. Dalam pelatnya yang masih berusia 8 tahun. Mengesat peluh dalam terik yang membahang panasnya.

Dia meneliti di celah-celah runtuhan rumah kami. Mencari-cari jika seandainya masih ada barang yang digunakan.

Aku duduk. Mengikat barang-barang ke dalam kain pelikat yang akan kami bawa. Berdiri, merenung langit Malaysia.

Lapang.

Sudah tiada lagi bangunan pencakar langit yang dimegahkan. Sudah tiada lagi keagungan yang dibangga-banggakan.

Rumah kami, bukan rumah kami lagi. Tempat kami, bukan tempat kami lagi. Negara kami, kami dibuang darinya.

"Tak ada orang yang nak selamatkan kita ke bang? Tak ada orang yang nak datang bantu kita ke? Kan banyak orang Islam kat luar?"

Aku merenung dalam. Dulu, ketika kami selamat. Semua leka. Seronok dibuai mimpi manis. Berpesta siang malam. Seronok. Halal haram, ntah dicampak ke mana. Bercampur segala. Berleluasa semua. Maksiat tak perlu dicari. Buka mata sahaja sudah boleh nampak. Tutup mata juga boleh dengar. Judi, apatah lagi, sudah terang-terangan dihalalkan kerajaan ketika itu.

Adakah ini bala Allah untuk kami?

"Ntah lah dik.Negara Islam.Hurm.. Mungkin mereka masih seronok di sana lagi.. Ada orang ke yang nak ingat kita di sini?.." Mengeluh mungkin. Memikirkan pemimpin-pemimpin Islam yang tidak habis-habis berunding.

Tiada penyelesaian.

Aku mengangkat barang. Menuju ke barisan yang sedang beratur panjang di jalanan. Jalan yang sangat panjang. Satu perjalanan, yang sudah tidak pasti arah tujuan

Ada yang mendukung anak kecil. Ada ibu tua yang mengangkut barangan. Ada wanita-wanita mengandung yang membusung perutnya, tetap tegar berjalan mengangkat barangan.

Aku membimbing adikku. Berjalan menyusuri tanah. Tanah yang penuh mayat-mayat yang bergelimpangan.

Memulakan perjalanan yang aku tidak tahu, bila hujungnya. Mencari rumah dan kediamanan yang tiada. Perlindungan yang tiada disua.

Masa depan yang mendung.

****

Nadwan terbangun. Berpeluh-peluh. Bajunya basah, lencun dipenuhi keringat. Nafas tercungap-cungap.

"Ko kenapa Wan?"

Memandang-mandang sekeliling. Masih tidak percaya.

"Aku.. aku mimpi... Negara kita dijajah.. Negara kita diserang.. Mayat bergelimpangan.." Nafasnya masih turun naik.

Masih menoleh memandang keadaan sekeliling.

"Aku.. takut. Tak ada orang tolong kita.. Aku nampak mayat bergelimpangan.. Kita.. Terusir dari negara kita sendiri.." Nadwan hampir menangis.

Rahman menunduk. Dia menangis.

"Wan, memang kejadian tu pernah berlaku.. Pada saudara kita..Cuma kita selalu tak sedar.."

"Pernah berlaku?..."

"Nakba. Peristiwa Nakba. Pengusiran rakyat Palsetin dari kediaman mereka... Saudara kita terusir Nadwan.."

Nadwan menunduk. Sebak. Membayangkan dirinya menjadi saudara di Palestin. Dibunuh, dirogol, dihina.

Terusir..


Tamat

****

Adakah kamu tahu?

Peristiwa Nakba jauh. Sudah terlalu lama dianyam masa. Rasanya sudah menjadi ketupat rentung di benak pemikiran kita. Baru menyambut 'mesra' ulang tahun hari lahirnya yang ke 60. Malah lebih tua lagi.

"Nakba? Apa tu? Movie baru kat wayang ke? Ada softcopy?"

Mungkin ada yang bertanya begitu. Ya, memang movie baru pun. baru keluar di wayang ~

Begitu juga peristiwa Shabra dan Shatilla. Seandainya kamu tahu, Alhamdulillah. Moga Allah membantu meningkatkan iman kita atas itu. Jika tak tahu, tak mengapa juga. Cuma kena ambil tahu dari sekarang.

Pergi ke google. Dan taip.

"Peristiwa Nakba"

Pastikan tahu ya.

Sepupu yang dibunuh.

Kita ada seorang sepupu kita. Sepupu dekat. Yang kita kenal. Cuma rumahnya jauh sikit dari rumah kita. Suatu hari kita baru tahu. Di rumahnya berlaku peristiwa kejam.

Keluarganya dibunuh. Dan dia dihalau dari rumahnya. Anak-anaknya menderita.

Tapi rupanya sudah lama kejadian ngeri tu berlaku. Dah 3 tahun lamanya. Kita baru tahu.

Teruk tak kita sebagai seorang sepupu? Sebagai seorang saudara?



Ambil tahu.

"من لا يهتم بأمر المسلمين فليس منهم"

"Siapa yang tak mengambil berat tentang urusan kaum muslimin, maka deia bukanlah dari kalangan mereka"-hadis

Rasai derita mereka yang kian meresap. Jiwai perasaan mereka yang hangat. Selami laut hati mereka yang sememangnya memerlukan bantuan dan perhatian.

Lebih dari hati kita yang selalunya mengharapkan perhatian yang fana. Fatamorgana. Dan ditipu warna-warna yang selalunya menyesatkan.

Ayah mereka disembelih. Pejam mata, bayangkan itu ayah kamu.

Ibu dan kakak mereka dirogol. Pejam mata, bayangkan itu ibu dan kakak kamu.

Dan rumah mereka, dihancurkan. Bayangkan, itu rumah yang kamu tinggal selama ni.



Bantu.

Bantu mereka, sedaya mampu. Banyak. Ada Haluan palestin. Ada program lifeline for Gaza. Atau mungkin, kamu tulis artikel-artikel tentang Palestin. Sampaikan kepada yang tak tahu. Semoga mereka membantu pula.

Jika kamu hanya ada satu sen, sumbangkan.

Jika hanya mampu menulis, walaupun satu ayat.

Jika hanya mampu menyanyi, lagukan.

Jika hanya mampu berkata-kata, alhamdulillah. Itu lebih baik.

Semoga kata-kata itu berangkaian.

Semoga ianya menjadi saksi bagi kita. Di hadapan Allah nanti. Di hadapan Rabbul Jalil.


Seandainya tak mahu bantu, jangan membatu.

Saya cukup tak suka bila orang kata.

"Alah, tak payah boikot2.. Bukan jadi apa pun.."

"Buat apa berdemonstrasi.. Bukan diorang dengar pun.. Buat habis suara je.."

Tahu tak? Banyak hati dan jiwa yang boikot. Rela menahan nafsu, menyebabkan mereka rugi. Rugi besar. Contohnya pada kes Sweden. Hal yang sama pada Israel.

Kamu kaji? Bila mana mesir menyekat laluan bantuan ke Gaza. Satu dunia berdemonstrasi. Desakan-demi desakan di setiap tempat. Hingga akhirnya, mesir tunduk akur. Membuka laluan walau terpaksa.

Bukan kamu yang menderita. Bukan kamu yang disiksa. Jika kamu tak mahu membantu, khair saja. Diam. Tapi jangan membatu. Jangan pula membaling batu.


Ayuh! Bangkit kan semangat!

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan (balasan) syurga untuk mereka (disebabkan) mereka berperang dijalan Allah: maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.

(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam Taurat Injil dan Al-Qur’an; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah?

Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." -At-Taubah ayat 111.

Allah membeli jiwa kamu. Ayuh, bangkitkan semangat jihad. Biar Allah redha dengan kita. Pasti, seandainya ada Salahudin Al-Ayyubi yang kedua. Kita lah orang itu, yang akan bangkit membela Palestin!

Takbir!


Tengok video ni. Tanamkan Azam, pasangkan tekad!

video

Friday, May 14, 2010

Posmen

picture by ~bat151287 of DeviantArt

"Mesti susah kan kerja Posmen?" Dahi berkerut sedikit melihat seorang berbaju biru, bercampur sedikit merah mengendong surat-surat.

Si teman berkalih, melihat sama ke arah yang ditunjukkan. Kemudian melirik senyum suka.

"Awak kerja apa ya?"

Selamba. "Posmen."

Diam.

Saling berpandangan.

Menahan ketawa. "Baguslah, Ayah saya juga pun Posmen sebenarnya.."

Pecah ketawa.

"Apalah awak ni.."

Senyum.

"Best tak jadi posmen?"

"Best."

"Kerja hantar surat kan?."

"Tak lah, hantar roti."

"Haish."

Tersengih. "Dah tahu, tanya pula. Mestilah hantar surat."

"Sebab apa best?"

"Sebab saya bukan hantar surat je.."

"Ha, Habis?"

Tersenyum bangga. "Saya tak hantar surat je. Saya hantar sekali kasih sayang dan doa pada setiap surat yang ada. Moga mereka sentiasa bahagia."

Gembira.

"Alhamdulillah.."

Tuesday, May 11, 2010

cerpen: Kunci Syurga


picture by Carenza of DeviantArt

Lepas subuh di pagi pelabuhan itu tenang. Hening dengan perang matahari yang perlahan memancar. Menimbulkan suasana laut yang mengasyikkan. Kapal-kapal bergerak lambat-lambat. Laut beralun menjadi syahdu.

Damai.

Pelabuhan Pulau pinang. Pelabuhan tumpuan yang selalu memberi seribu ingatan kepada pengunjung-pengunjungnya. Jeti yang tak pernah sunyi dengan manusia.

Nadwan menyandarkan tangan di penghalang besi, berdiri rapat bersebelahan dengan isterinya. Tersenyum sendiri-sendiri melayan perasaan yang ntah apa di hati. Gayanya seperti sedang menikmati satu memori.

Dia melemparkan pandangan jauh ke laut. Membiarkan baju ungu cerahnya halus ditiup angin, sengaja membiarkan diri leka dalam lembutan bayu.

“Abang…” Athirah bersuara lembut dalam jubah coklat dan tudung labuh kuning cairnya.

“Ya..?” Nadwan menoleh, tersenyum memandang Athirah.

“Athirah nak tanya sikit boleh?..”

“Lah, tanyalah banyak pun, abang tak kisah…. “

“Erm..”

“Kenapa? Ni mesti nak tanya kenapa abang hensem sangat ya?..”

“Isk, ke situ pulak abang ni..” Athirah mengerutkan dahi.

Nadwan ketawa kecil. Seronok dia.

“Athirah cuma nak tanya, kenapa abang suka sangat ya datang ke pelabuhan ni..?”

Nadwan diam. Kembali memandang ke laut. Tersenyum sebentar. Senyuman yang penuh makna.
Camar-camar terbang rendah, mengicau sesama sendiri.

“Sebab di sinilah dulu.. Abang dapat kunci syuga..” Nadwan berpaling, menghadiahkan sebuah senyuman untuk isterinya.

“Kunci syurga?”

“Ya, kunci syurga…”

*****

Nadwan berlari laju. Si kecil itu baru balik dari padang. Menuju terus ke arah T.V. Semangat penuh harapan.

“Jangan tengok T.V! Abang tak baca quran lagi kan hari ni? Main je dari tadi.” Rahmah memarahi.

Nadwan masam.

“Abang nak tengok kejap je mak!”

Nadwan sudah hendak menangis.

“Mak tak bagi.”

“Abang nak tengok jugak!”

“Abang lawan cakap mak?” Muka Rahmah garang. Rahmah mendekat, memegang telinga Nadwan, dan memusingnya ke belakang. Sedikit keras.

“Sakit mak! Sakit!.. Sakit Mak..hu..hu..” Nadwan meraung. Menangis menahan sakit.

“Pergi baca quran cepat!”

Nadwan melangkah laju, menapak keras. Nafasnya turun naik, turun naik menahan tangis dan marah. Mengambil quran, kasar. Air matanya tak henti mengalir.

“Jangan tengok T.V sampai habis baca quran. Faham?!!” Rahmah memberi amaran.

Nadwan membaca quran sambil menangis. Tersendu-sendu menghabiskan ayat demi ayat. Habis bacaan jadi
berterabur tersangkut tajwid sana sini.

“Baca elok-elok! Ulang sekali lagi!”

Rahmah memang seorang yang garang terhadap anak-anaknya. Tegas mendidik. Bagi Rahmah, ini cara didikan dia terhadap anak-anaknya.

Nadwan menangis kuat lagi. Dia menjeling-jeling jarum jam. Lagi 15 minit cerita Power Ranger kesukaannya akan habis.

“Baca quran pun nak nangis? Baca betul-betul. Mak tak dengar.”

Nadwan merangkak menghabiskan bacaan. Dia cuba membaca cepat-cepat, walau masih dalam tangisan.
Dalam hatinya masih teringat hero power rangers kesukaannya.

“SodaqAllahhul’azim…”

Nadwan selesai mengaji. Dia gembira. Nadwan kesat air mata. Dia berlari cepat-cepat. Membuka suis petak hitam. Tak sabar menonton sambungan episod minggu lepas. Menunggu cahaya kabur yang kemudian menjadi imej-imej jelas.

T.V terpasang. Terdengar bunyi-bunyian, lagu tema akhir Power Rangers. Menandakan siaran sudah tamat.

Nadwan mendegus. Dia rasa marah, rasa geram sangat-sangat.
Sebab mak lah. Dia terlepas cerita tadi. Semua sebab mak. Mak salah!

“Hah! Tadi nak tengok T.V sangat, tengoklah” Rahmah menyergah.

Nadwan hanya memandang maknya dengan muka masam. Rasa geram.

Jiwa kecil dia memberontak.

*****

Rahmah mengusap gambar kenangan bersama arwah suaminya. Membersihkan habuk di cermin sebaiknya. Dia terngiang-ngiang, terbayang-bayang wajah tampan suaminya.

“Nanti, Mah jaga anak kita baik-baik ya? Biar mereka jadi anak soleh. Nanti, boleh diorang doakan kita..”

Dia terbayang senyuman suaminya suatu masa dulu. Saat sama-sama masih bergandingan memimpin cahaya mata. Waktu duka meghadapi karenah si nakal, sama-sama berkongsi air mata.

Rahmah garang. Suaminya lembut. Sudah memang begitu kehendakNya. Ayah Rahmah dulu tentera, jadi anaknya didisiplin ketat. Ketat pada agama. Ketat pada hukumnya. Rahmah jadi tegas. Itu perwatakan dia.

Dia memang sengaja garang, tak mahu anak-anaknya hanyut dalam usia yang masih amat-amat muda. Tak mahu anaknya awal-awal dibuai dalam leka. Dia memang tidak mahu.

"Tapi Mah risau mah tak dapat bimbing dengan baik, Mah takut tak dapat berikan yang terbaik untuk diorang."

Suaminya tersenyum.

"Kan abang ada, kita sama-sama kan? Moga diorang jadi penyejuk mata kita.."

Suaminya senyum lagi. Cuba memberi sepenuh harapan.

"Lagipun, kalau abang tak ada... kan Allah ada?"

Dan dia sentiasa ingat waktu dan wajah suaminya tika itu.

Selalu, bila anaknya Nadwan dimarahi. Suaminya yang akan datang memujuk. Bila dia amarah rasa geram terhadap sikap anaknya, suaminya akan menjadi air menyiram sejuk rasa ke hati.

Tapi itu dulu, saat suaminya masih ada. Dan sekarang, dia berkeseorangan dalam melentur rebung yang semakin menjadi buluh.

Dia akui, dia memang ibu yang garang. Tapi apalah sangat garang yang ada pada seorang ibu. Garang manapun, secangkir kasih juga yang akan diberikan. Tegas manapun, sebening sayang juga yang akan dihadiahkan.

Walau banyak kali hati terguris. Walau malam-malam dia selalu menangis keseorangan.

Kadang mungkin memang dia tersalah kata, atau lumrah tersalah bicara terhadap waladnya. Tapi dalam jauh lubuk di sudut ruang hati, Rahmah benar-benar ingin menjadi yang terbaik. Dia senantiasa mencuba.

Sekalipun dia tahu, anak kesayangannya itu selalu memberontak, kerap bermasam muka terhadapnya. Biarlah macamna, dia akan tetap terus berkorban.

Itu amanah suaminya. Dan dia tetap akan menjaganya sampai bila-bila.

*****

"Siapa yang letak baju merata-rata ni? Abang kan?"

"Bukan abang, adik kot."

"Tapi mak nampak abang je duk kat sini tadi.."

"Bukan abanglah mak! Mak ni kerja tuduh orang je!" Nadwan melangkah laju. Masuk ke bilik menghempas pintu. Dia rasa ibunya menuduh tak tentu hala.

"AArrrgghhh!"

"Tum!" Nadwan menumbuk dinding. Terasa ingin melepaskan kemarahan dia yang tak tentu pasal.

Nadwan tak tahu. Kadang dia sendiri tak faham. Diri sudah meningkat dewasa. Sudah berumur angka 2 di hadapan sejak minggu lepas. Tapi dia selalu tak sefahaman dengan ibunya. Dia rasa ibunya terlalu mengongkong.

Dia rasa ibunya lansung tidak pernah memberi sokongan terhadap apa yang dia buat. Dia rasa kadang rasa meluat dengan ibunya. Apa yang dia buat, tak pernah ada yang kena.

"Semua salah. Buat salah, tak buat pun salah. Apa yang aku buat, semua salah di mata mak!".

Kerja syaitan. Makhluk terlaknat dunia akhirat. Benda kadang tiada apa, saja dihasut benci yang amat. Di hembus rasa geram. Prasangka yang selalu menyiat-nyiat hati. Perkara kecil, di jilat-jilatkan dengan dendam.

"Teruskan membenci ibumu.. Teruskan Nadwan..."

Nadwan merebahkan badan ke atas katil. Cuba menangkan hati yang diremuk rasa dendam tanpa mata. Sekejap, dia terpandang sesuatu di atas mejanya. Meja kayu yang dilapik dengan kain batik merah bercorak merah itu nampak kemas.

Dia bangun. Duduk menghadap meja. Mengambil kitab kulit keras itu. Al-Quran. Dia membuka. Membelek huruf dan ayat yang indah tersusun. Mengerling kepada terjemah di bahagian sisinya.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.

Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu.

Dan kepada Akulah jua tempat kembali.
"

Seperti ada sinar yang masuk. Laju menerobos ke setiap urat saraf. Nadwan menggeletar. Terasa ada perasaan hangat lembap yang berkembang di hati. Naik ke mata. Dan kemudian mengalir lembut turun ke pipi.

Nadwan menangis. Dia tersendu-sendu. Rasa diri hina yang amat. Apalah sangat apa yang dia rasa berbanding pengorbanan yang ibunya tanggung. Berat yang diusung ke sana sini. Apalah sangat. Ya Allah..

Dia menarik nafas dalam-dalam. Sedalam rasa yang dia ada sekarang. Walau apapun yang terjadi. Dia akan jadi anak soleh. Pasti!

*****

Petang itu terasa nikmat. Nadwan tersenyum. Turun tangga perlahan-lahan. Hati gembira. Hati lapang. Semalam, rakan sekelasnya di Universiti bercadang buat perkelahan di Teluk Cempedak. Dia mahu ikut, dia mahu bersama rakan-rakannya menghabiskan cuti lapang.

"Mak nak ke mana?" Nadwan bertanya. Pelik melihat ibunya yang nampak bersiap kemas.

"Mak nak ke Jeti. Mak ada kerja sikit di sana. Nak jumpa kawan kejap"

"Mak, abang ingat nak jalan-jalan ngan kawan hujung minggu ni.. Boleh tak?"

Rahmah diam. Berfikir sekejap.

"Kan abang dah banyak kali berjalan? Sekali sekala, duduklah di rumah pula.."

"Mak engkau saja ja tu Nadwan.. Dia memang tak akan bagi kau pergi.."

"Lagipun, mak tak suka kalau abang pergi dengan kawan-kawan macamtu. Mak tengok banyak yang hisap rokok."

"Mak bukan kenal kawan abang siapa. Abang lagi kenal diorang."

"Tapi mak jaga abang dari kecik lagi, Nadwan.. Abang tu dulu, dalam perut mak. Mak tetap tak suka abang kawan dengan diorang!"

"Lawan mak kau Nadwan, dia memang menjelekkan.. Kau perlu ada kebebasan.. Lawan, Nadwan.."

"Waktu abang ada masalah, diorang yang tolong abang. Bukan mak! mak hanya tahu marah, dari dulu lagi! Tak pernah nak bagi semangat, tak pernah nak bagi sokongan!"

Nadwan mendengus kencang. Dia rasa tangannya menggeletar marah. Dia sepeti terlupa taubat dan azamnya sebelum ni.

"Lawan saja Nadwan. Lawan mak kau tu.."

"Semua mak saja yang betul!"

"Abang jangan biadap!"

Nadwan mendengus kencang lagi. Benar-benar menahan amarah syaitan.

"Abang lagi suka kalau orang lain yang jadi mak abang!"

"Tumm!!" Dia menghempas meja dengan tangan kanannya. Melepas segala amarah. Nadwan seperti sudah hilang akal. Dia berjalan laju, mengambil kunci kereta. Berjalan laju keluar ke pintu, melanggar sedikit bahu ibunya. Dia tidak kisah.

"Bumm!!" Pintu dihempas kuat.

Menghidupkan enjin kereta. Memusing laju. Dan terus menderum di jalan.

Tangan Rahmah menggeletar. Dia rasa sebak dan pedih yang amat.

Dan air mata seorang ibu mengalir laju..

*****

Cafe Coffee House. Cafe cina muslim yang kemas disusun rapi. Ada corak dan khaligrafi khat digantung. Mempamerkan budaya cina yang penuh adab sopan.

Nadwan minum bersama rakan-rakannya. Dia rasa tenang sedikit. Rasa lega. Seronok mendengar muzik yang ntah dj mana mainkan. Melihat corak-corak yang diukir halus menghias dinding.

Dia gembira bila duduk bersama teman-temannya. Bersembang perkara-perkara lain berkenaan universiti dan bola. Dia mahu melupakan segala-galanya tentang ibunya. Sudah 3 jam rasanya sejak dia keluar dari rumahnya tadi.

"Mana Kamal? Lambat pula dia.." Hanif bertanya. Mencari-cari sahabat sekelasnya itu.

"Ntah, tadi aku baru call, dia kata lambat sikit. Jalan jam.."

"Jam apa petang-petang macamni.. Bukannya hari kerja.."

Nadwan cuma diam. Dia mengacau-ngacau kopinya. Melihat serbuk coklat yang kemudian tenggelam dan menjadi likat.

"Ha, sampai pun.."

Dari jauh, kelihatan seorang lelaki berjalan sambil tersengih. Memakai topi hitam dan berjaket kelabu.

"Asal lambat sangat?"

"Sorrylah. Jalan jam. Tadi ada kereta kemalangan dekat jalan nak pi Jeti. Tapi alhamdulillah, dah settle dah. Dah pergi hospital. jalan pun dah ok."

Nadwan tidak berapa ambik pusing. Dia masih mengacau kopinya. Masih terbayang wajah ibunya. Dia masih ada rasa marah.

"Teruk ke?"

"Teruk juga, kereta Avanza Hijau..Habis berdarah makcik dalam tu. Aku rasa dah mati dah. Ya Allah, tak bleh aku ingat. Ngeri gila.. Langgar dengan lori.."

"Mak nak pi jeti, jumpa kawan.."

Berderau darah Nadwan mendengar. Terasa kebas hingga ke muka. Ibunya memang memandu Avanza Hijau.

"Kau kata apa tadi? Avanza Hijau?" Nadwan tiba-tiba separuh menjerit.

Kawan-kawannya semua tersentak.

"Kenapa ni wan? Tiba-tiba je kau ni.."

"Haah, Avanza hijau.. Kenapa?"

Muka Nadwan hampir memucat. Darau tak henti berderau. Dia lekas mengambil kunci. Menghidupkan kereta. Memecut laju. Dia tekan minyak sehabisnya. Memotong segala kereta dan lampu isyarat. Laju mahu terus menuju ke Jeti.

Dia mengambil handphone. Menekan pantas nombor ibunya. Membuat panggilan..

"Maaf, peti mail suara bagi no ini.."

Tak dapat. Tak dapat dihubungi.

"Mak angkatlah mak.."

Dirinya dilanda ribut cemas. Nadwan tekan butang call lagi. Sama. Jawapan sama.

"Abang lagi suka kalau orang lain yang jadi mak abang!"

Dia terngiang-ngiang kata-kata yang dihamburkan kepada ibunya sebentar tadi.

"Mak, jangan mati mak..."

Dia menyesal. Nadwan menangis..

*****

Pelabuhan Pulau Pinang.

Nadwan sampai. Keretanya membrek mengejut. Dia lekas keluar, mahu terus mencari ibunya.
Berjalan laju melihat-lihat kereta avanza hijau ibunya jika ada. Jantungnya berdegup kencang.

Tak jumpa. Tiada.

"MAaaAkk!" Nadwan menjerit. Meraung dalam tangisannya.

Dia berlari lagi. Mencari-cari wajah ibunya. Kali ini, dia benar-benar mahu menatap wajah ibunya.

Tiba-tiba, dari jauh. Kelihatan kereta Avanza hijau terparkir rapi. Berdekatan dengan tebing jeti. Di atas rumput hijau jauh sikit dari taman rekreasi.

Hati Nadwan lega sikit. Tapi cemasnya tetap ada. Dia mahu melihat wajah ibunya juga. Dia berlari. Berlari laju.

Di hadapan laut, terlihat seorang wanita diam bersendirian berdiri keseorangan. Menghadap laut dan kapal yang ketika itu senja. Laut juga memantulkan warna oren-oren keperangan.

"Mak.."

Rahmah berkalih.

"Nadwan..?"

Terlihat wajah tangisan di wajah anaknya.

Nadwan datang. Terus memeluk lutut ibunya. Menangis menggenggam erat.

"Maafkan abang mak.. Abang sayang mak.. Maafkan abang.. maafkan abang.."

Nadwan merayu. Menangis sesungguh hati. Merayu memohon ampun. Rahmah sebak. Perkataan sayang dari anaknya amat menyentuh hati. Air matanya bergenang.

Rahmah tersenyum perlahan. Mengusap kepala anaknya.

"Bangunlah.. mak dah lama maafkan abang. Setiap apa yang berlaku, mak sentiasa maafkan.."

"Abang minta maaf mak, sebab tak jadi anak yang mak baik.. Abang minta maaf."

Rahmah menarik nafas.

"Tak apa abang, mak yang pelu minta maaf..."

Air matanya turun perlahan.

"Mak minta maaf sebab tak dapat jadi mak yang baik untuk abang selama ni.."

Rahmah menangis. Perlahan. Senyum dalam tangisan.

Tangis Nadwan memecah. Memeluk ibunya erat-erat.

Menatap wajah anaknya bersungguh. Senyum lagi.

"Tak apa abang. Seandainya redha mak adalah jalan abang ke syurga. Seandainya kemaafan mak yang abang perlukan untuk ke syurga. Seandainya abang harapkan keampunan dari mak.."

Hatinya makin sebak.

"Mak dah redhakan abang, mak dah maafkan abang, mak dah ampunkan semua dosa abang.. Jika itu kunci untuk abang ke syurga. Ambillah, mak dah bagi kunci tu pada abang.."

Rahmah tersenyum. Senyuman ibunya yang paling manis yang pernah Nadwan tengok. Senyuman senja yang bermakna.

Senyuman yang terakhir, sebelum esoknya ibunya benar-benar pergi untuk selama-lamanya..

*****

Air mata Athirah mengalir. Membasahi pipinya yang putih lembut. Sejuk damai pagi itu mengiringi perasaannya.

Dia merapati suaminya dekat. Mengelus jari atas jemari Nadwan. Menggenggam erat.

"Abang.."

"Ya sayang.."

"Bimbing Athirah menjadi isteri yang baik untuk abang ya.. Pimpin Athirah menjadi wanita solehah. Athirah nak jadi bidadari dunia abang dunia akhirat.. Abang redhakan Athirah ya.. Syurga Athirah, pada abang..."

Athirah menunduk. Tunduk dalam dambaan seorang isteri.

Nadwan merapat. Mengesat air mata isterinya.

Tersenyum.

"Abang dah redha, dah lama redha. Seandainya redha abang, keampunan abang, dan kasih sayang abang adalah kunci Athirah untuk ke syurga. Athirah dah dapat kunci tu..."

"Athirah, memang sudah isteri yang terlalu terbaik untuk abang.."

Mencium dahi isterinya.

Dan redup pagi itu terus menjadi saksi kasih sayang dua hamba. Hamba yang hanyut. Hanyut dalam redha dan kebahagiaan..

*****

Tamat

P/s: Selamat hari Ibu kepada mak saya. Shaharani binti Shaharom. Terima kasih mak, atas semua pengorbanan dan kasih sayang mak selama ni. Mak lah mak abang yang terbaik dunia akhirat. Terima mak, atas kunci syurga yang mak berikan :) Abang sayang mak.

Tuesday, May 4, 2010

Syukur, dapat banyak lagi.

Memang banyak yang kita inginkan. Kan?
Picture by Kazutaka-A of DeviantArt

Berpusing-pusing, pening. Diseluk kocek, tiada duit dirasa. Dicucuk di bank, hanya resit yang keluar.

Hati meronta-ronta. Nafsu apatah lagi, menangis-nangis mahu seakan bayi yang ketandusan susu. Mata terasa rambang, semua yang di depan terasa indah.

Mahu beli sesuatu. Tapi duit tiada. Mahu beli barang, tapi ongkosnya kurang.

Pernah rasa begitu?

Rasa kurang, perasaan tak mencukupi. Kemahuan yang ingin ditambah lagi. Sedangkan ianya sudah ada. Keperluan yang sedia serba serbi. Saya pernah ada rasa begitu, waktu terlihat jubah warna merah saga semasa berjalan di masjid india. Aduh, tertawan tergoda terpikat. Biar sampai di bilik, hati masih teringat-ingat.

Saat Hasan bertanya.

Saat Sayyidina Hasan bertanya kepada ayahnya tentang datuknya. Muhammad. Tentang sikap Rasulullah terhadap sahabat-sahabatnya.

Tenang Sayyidina Ali, ketika menuturkan akhlak sebuah lagenda mulia.

Hadis yang saya suka.

"Jika menginginkan sesuatu, baginda akan mudah melupakannya dan tidak pernah membuat orang lain berputus asa atau terbebani untuk memperolehnya.." Riwayat- Tirmizi.

Owh Rasulullah, akhlakmu memadamkan inginku.

Manis.

Lalu, bagaimana kita?

Adakah masih merengek merayu meminta ibu ayah agar ditunaikan. Melihat sofa cantik, berhimpitan meminta suami belikan. Atau membilang jari, menghitung hari saat wang bisa dikumpulkan.

Tak mengapa, tak salah memiliki. Kita manusia juga bukan? Ya, nabi juga ada keinginan dan kemahuan.

Tapi, bagaimana kita mengawal semua itu? Benar, tak salah memiliki. Tapi bila hingga sudah melebihi keperluan, apatah lagi melangkaui keperluan. Itu sudah jadi membazir.

Sudah ada kasut, mahu kasut lagi. Mahal pula tu. Sudah ada baju, tambah baju lagi. Harga tinggi-tinggi. Sudah ada beg tangan, mahu pakai satu lagi. Biar bergaya kiri dan kanan.

Duit bukan ada pun sebenarnya. Haha. Kelakar juga.

Sayangnya, hanya kerana inginkan sesuatu, hingga sanggup berhutang. Yang sanggup berlapar berdiet juga ada. Bukankah pelik.

Kamu ada tergolongkah?

Sekali lagi, tak salah membeli. Tak salah menambah. Cuma jangan sampai membazir. Jangan sampai melangkaui batas kemampuan diri sendiri. Apa batasnya, kamu sendiri tahu, kan?

Anak adam itu tidak pernah puas.

"Jika seorang anak Adam memiliki emas sebanyak dua lembah sekalipun maka dia akan (berusaha) mencari lembah yang ketiga. Perut anak Adam tidak akan pernah puas sehingga dipenuhi dengan tanah."-Riwayat Bukhari

Memang itu dasar kita, manusia. Namun, adakah hanya hingga kita mati, baru kita mampu untuk menahan nafsu dan keinginan kita.

Mungkin kita kena makan dulu tanah kot. Baru puas nafsu segala-galanya. Kamu cubalah. Nanti beritahu saya bagaimana rasanya.

Haha. Maaflah, saya bergurau.

Syukur, dapat banyak lagi.

"Seandainya kamu bersyukur pasti Aku (Allah) akan menambah nikmat kepadamu. Dan seandainya kamu kufur, sesungguhnya siksa-Ku amat pedih."-Surah Ibrahim, 7.

Saya seorang yang tamak sebenarnya. Jika boleh, apa yang saya ada sekarang, saya mahu tambah lagi. Hai, tak cukup betul. Tak salah, jika kamu mahu pun tak mengapa. Ada caranya, buatlah.

Syukur.

Kamu dapat nikmat. Kemudian kamu bersyukur, tambah nikmat lagi. Kamu bersyukur lagi, tambah nikmat lagi lagi. Kamu bersyukur lagi, tambah nikmat lagi lagi lagi. Kemudian kamu masih bersyukur, tambah nikmat lagi lagi lagi lagi. Syukur lagi, nikmat ditambah lagi lagi lagi lagi lagi. Dan lagi.

Dari lagi, hingga ke infiniti.

Ini janji Allah. Dan Allah tidak pernah memungkiri janji. Maksudnya, bila kita buat. InsyaAllah kita akan dapat.

Dua pilihan, bersyukur dan Allah akan tambahkan. Atau kufur dengan banyak sangat nikmat yang Allah beri. Kemudian kamu akan tahu, bahawa azab Allah itu amat pedih.

Kamu pilih yang mana?

Kita cuma perlu sedar.

Ramai yang tak sedar. Sedangkan di sekelilingnya sudah terdapat banyak pertolongan dan bantuan yang Allah berikan.

Saudara mara yang baik. Ayah dan ibu yang penuh kasih sayang. Suami mahupun isteri yang soleh. Keperluan yang sentiasa cukup. Perut yang selalu terisi. Dan ya, kita masih berpakaian kan?

“Lihatlah orang yang dibawah kalian dan janganlah melihat orang di atas kalian, karena yang demikian itu lebih layak bagi kalian untuk tidak memandang hina nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kalian.”-Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi

Tapi kita selalu memandang negatif. Memandang apa yang kita tidak ada. Itu sebabnya, kita sukar untuk bersyukur.

Pandanglah yang sedikit itu. Jika kamu rasa hanya ada sedikit kebahagian. Bersyukurlah atas yang sedikit itu. Semoga Allah tambahkan. Jika rasa sedikit kesenangan. Jadilah hamba yang bersyukur. InsyaAllah, Allah akan lebihkan kesenangan kamu.

Harta, wang, masa yang lapang, rakan, anak-anak, penghargaan, pencapaian, dan semua yang sedikit.

Bersyukurlah, moga-moga Allah tambah semuanya.

Kan janji Allah itu pasti?

Kamu bersyukurlah, nanti Allah akan tambahkan, dan kamu senang. Boleh saya tumpang gembira :)

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"-Ar-Rahman.

Puisi: Aku ingin menangis

Puisi ini bukan saya tulis. Bukan karya saya. Tapi karya sahabat saya, yang saya sayang padanya. Sedap bunyinya, bermain-main irama di hati. Berlagu-lagu merentap diri. Terima kasih Farhan, atas sebuah puisi.. :)

picture by ~razvanx of DeviantArt

Aku ingin menangis,

Menurutkan hati yang dilanda gerimis,
Mematuhi fitrah yang jelas tertulis,
Segenggam takdir tak mungkin terhakis,
Menyangkal pengertian ungkapan egois,
Benarkah seorang lelaki itu layak menangis?

Aku ingin menangis,

Akalku tidak setajam Khalid di medan Mu’tah,
Matlamat hidupku tidak setepat panahan Hamzah,
Suara jiwaku tidak selantang Bilal di subuh mencerah,
Pendirianku tidak sehebat Sulaiman membina wilayah,
Apakah ini bisikan dayus atau diriku yang mudah mengalah?

Aku ingin menangis,

Mengimbau kembali sejarah hidupku,
Pentasan dunia bersulam waktu,
Merentasi hari menagih kurniaanMu,
Termenung sejenak diriku terpaku,
Apakah sumbanganku pada agamaMu?

Aku ingin menangis,

Ketika derai tawa menghiasi hariku,
Ketika indah mentari menemani pagiku,
Ketika garis sang pelangi menghiburkan petangku,
Ketika hening malam menemani tidurku,
Apakah terpacul dari bibirku hamburan syukur diriku padaMu?

Aku ingin menangis,

Kutahu ajal mautku tertulis ditanganMu,
Kusedar segunung doa tak mampu memutar waktu,
Namun kuyakini Engkau selalu mendengarkan aku,
Ya Allah kau biarkanlah air mata ini berlalu,
Kembalikan diriku ke jalan redhaMu..