Followers

Letakkan link blog anda =)

Monday, January 17, 2011

To DQ mates: Quran yang kian pudar.

Pagi yang menyenangkan..
~Blue by ~ew-cia of DeviantArt~

****

Bagaimana nak mulakan ya?

Pagi-pagi di Mahalah Salahudin amat mendinginkan. Terasa seperti ada air-cond besar yang dipasang, dan ditekan pula suhu yang paling rendah. Kata orang, "Sejuk tahap gaban". Dan saya lah orang tu. Bila terkena air, badan akan bergetar seperti mode vibrate handphone.

Memang sejuk.

Dan kesejukan pagi di sini disulam pula dengan suasana Mahalah Salahudin yang menyenangkan. Keadaan begini membuatkan fikiran saya terbang ke 3 tahun lalu. Ke satu tempat yang juga nyaman sama seperti di sini :

Darul Quran.

Dahulu, angin dari bukit sering menyinggah di Negeri Quran ini. Sehingga ramai pelajar yang terliang-liuk badannya hampir jatuh. Yang hampir terbang pun ada.

Kata orang, macam kipas yang dipasang pada tahap kelajuan 10.

Tapi di situ, ada angin lain yang berhembus lembut. Perlahan saja menyapa hati.

Itu yang ingin saya ceritakan.

****

"Baik bagi orang-orang biasa, tapi buruk bagi orang-orang yang cuba mendekatkan diri pada Allah"

Mungkin itu ungkapan ulamak yang paling sesuai untuk digambarkan. Kerana di situ, begitulah mereka cuba dididik dan ditarbiyyah.

Tak salah untuk buat, tapi dididik untuk mencari yang lebih baik.

Banyak yang saya teringat dan rindu.

Jauh.

"Wah, jauhnya! Sejauh mata memandang!"

Dahulu, untuk bertembung dengan muslimat, sister, atau di sana dipanggil-banat. Amatlah payah. Lebih payah dari menjawab soalan calculus- walaupun sudah cuba menjawab soalan past year.

Kerana banat sudah ada laluan masing-masing.

Nak bertembung pun sukar, nak bermain mata apatah lagi. Terguling-guling mata mencari. Kalau melihat pun, perlu memakai teropong berskala tinggi. Baru tahu siapa yang berjalan. Nak kata jauhlah.

Sekarang, amat senang nak bertembung dengan sister. Nak beratur rapat-rapat pun boleh.

Campur

Dup dap! Dup dap!

Teringat dulu, ketika nak bagi quran pada seorang sister yang berada di sebuah pondok wakaf di sana. Jantung berdebar macam nak pecah. Padahal nak bagi quran je pun.

Tapi sekarang dah hilang. Mungkin hati tak lah suka pada percampuran. Tapi keadaan sekeliling membuatkan hati jadi biasa. Dan rasa tu pergi jauh-jauh.

Sehingga ada antara kita yang berdiri terlalu rapat. Tapi, tiada lansung rasa janggal di hati. Malah gembira.

Cafe.

Kalau banat nak beli kat cafe, nyorok belakang dapur je. Haha. Tak lah menyorok. Tapi beli dari pintu belakang. Sebab pintu depan penuh banin. Kalau nak tengok banat makan dalam cafe. Harapan lah jawapnya.

But now, senang je nak makan sekali. Buat je group discussion. Senang kan?

Pelik, kalau nampak ada banin dan banat bersama. Sebab perkara tu tak biasa sangat berlaku. Ganjil dan janggal. Kalau berlaku juga, semua orang tahu yang diorang adik beradik, tak pun dah kahwin.

Meeting.

"Ana cadangkan, begini, begini, begini.."

Mak ai, suara sapa tu? Macam Jennifer Lopez.

"Tak pun kita buat macamni.."

Pergh, garangnya suara. Macam harimau,

Rasa macam dengar radio pulak. Dengar suara, tapi tak nampak muka. Haha. Begitulah meeting dahulu. Banin di hadapan. Banat di belakang. Hanya ketua di hadapan. Hanya kedengaran suara yang menyahut. Agar tiada yang terjeling, walau tak sengaja. Mungkin rasa seakan pelik. Tapi, itulah yang terbaik. Untuk hati, untuk diri, untuk semua.

Moga semakin dekat dengan Allah.

Isu.

"Banat naik basikal?? Haramun Jiddan!"

Teringat di sana, bukan setakat muslimat main bola tampar ke, futsal atau apa. Kalau banat naik basikal pun dah boleh jadi isu. Haha. Tak lah haramun jiddan, itu saya yang tambah.

Satu isu yang pernah ada ketika mana saya ada dulu,

Isu imam kedua solat Isyak.

Bukan solat dengan ada 2 imam. Tapi ada jemaah ke dua selepas jemaah pertama. Maksudnya, lambat untuk solat Isyak. Kerana takut dibiasakan. Ianya jadi isu. Solat perlu dijaga.

Best kan?

Pakaian.

Dekat sana baju sepesen je. Macam boria. Banin dengan baju raihan dan jubah. Banat dengan jubah dan tudung labuhnya. Boria yang amat mempersona.

Kalau nak pakai baju lengan pendek, terasa segan. Ntah tangan terasa gatal semacam. Kalau nak pakai baju kurung apatah lagi, kena jalan sambil serkup muka dengan baldi.

Taklah, tak salah pun semua tu.

Cuma dididik untuk menjadi yang terbaik.

Quran.

"Sekarang dah juzuk berapa? Dah banyak ulang?"

Persoalan yang sentiasa terpacul. Seperti soalan, dah siap tutorial?

Dulu, banat memang terbaik tahap gaban. Jumpa dalam HEP, baca quran. Bercakap dengan pensyarah kejap, masa senggang, baca quran. Kemudian sambung cakap balik. Naik bas, baca quran. Tunggu bas, baca quran. Mengigau pun baca quran.

Memang bidadari syurga.

Banin pun sama, tapi tak lah tengok sampai tahap tu. Baca rileks-rileks pun, lagi laju dari banat. Haha.

Sekarang bagaimana kita?

"Kamu baca berapa juzuk sehari?"

Cikgu sekolah saya bertanya.

"Erm, setengah juzuk, kadang-kadang satu juzuk.."

Jawab saya. Ada unsur menyelamatkan diri di situ.

"Ha?"

Cikgu saya terkejut. Eh, banyak sangat ke saya cakap?

"Kamu kena ulang 3 juzuk sehari. Itu paling kurang.."

Gaya cikgu seperti memarahi saya apabila tidak memberi tumpuan dalam kelas. Atau mungkin ketika terlupa membuat latihan sekolahnya.

"Ingat tau, 3 juzuk sehari. Baru ingat, kalau tidak, nanti lupa quran tu.."

Cikgu mengingatkan sekali lagi.

Dulu, semasa belum menghafal quran. Al-quran adalah pilihan bagi kita. Maksudnya, ianya sunat. Kita boleh untuk tidak membaca.

Sekarang,

Kita sudah menghafal, maka kita wajib mengingat. Ianya bukan lagi pilihan. Menjaga hafalan, ianya kemestian. Kelak di akhirat, kita akan ditanya, tentang title 'hafiz' dan 'hafizah' kita.

Tiada lagi yang sepatutnya memberi alasan ada perkara lain yang perlu diaulakan. Memberi alasan sibuk.

Jom, buat muhasabah?

Kita selalu bangga bila dapat baca quran sejuzuk sehari. Mantap syeikh! Memang kembanglah. Tapi, syeikh, Imam Hassan Al-banna, mengingatkan ahli gerakan Islam, agar membaca 1 juzuk sehari. Itu kalau bukan hafiz, kalau hafiz? Patutnya lebih lagi la. Kan?

Kita akan kuat bila bersama. Nak angkat satu mahalah pun boleh. Tapi bila keseorangan, semut gigit pun boleh demam.

Kita buat musabah DQ nak? Kat Gombak.

Muhasabah tentang quran kita. Macammana, sudah bersediakah menghadap Allah. Tentang bagaimana sepatutnya, kita luaskan lagi tanah jajahan negeri Al-Quran itu ke empayar yang lebih luas, bukannya kita yang berpindah negeri.

Bagaimana sikap kita dengan Al-quran sekarang. Sudah jauhkah? Dekatkah?

Bila sudah beramai-ramai. Pasti dapat kembalikan memori tu kan? Mesti terasa kuat untuk terus memegang Al-Quran.

Seperti kuatnya saat kita mendengar bacaan Al-Quran yang tak pernah hilang walaupun sesaat di masjid kita dulu..

:)

Wednesday, January 12, 2011

Penita: Islam dalam bersin

Best kan Hujan?
~Rain. by ~k33nst34ks of DevianArt~

****

Li Wei sampai ke stesen bas. Si penyenyum itu menyisir rambutnya ke telinganya. Tempias-tempias hujan terasa membasahi muka.

Stesen bas tu ramai. Walau kerusi tak lah banyak mana.

Gadis comel berbangsa cina itu memeluk file dan nota catitan. Di hadapan buku tersebut tertulis: 'Balaghah', dalam bahasa arab. Dia memang amat berminat untuk belajar bahasa timur tengah itu.

Entah lah  dari mana minatnya tu datang. Sedar-sedar, sudah terasa sayang.

Orang-orang Islam kata, bahasa syurga mereka. Jadi, bila tau sikit-sikit bahasa tu, boleh la dia faham sikit-sikit simpulan-simpulan huruf yang dia selalu nampak dekat quran. Dia selalu dengar kawan-kawannya kata, Islam itu indah. Dia teringin sangat untuk merasakannya.

Walau cuma sekali.

Seorang lelaki tiba-tiba datang menapak.

Berpakaian kemas. Kemeja berbelang-belang serta tali leher. Rasanya baru pulang dari pejabat. Berdiri berdekatan dengannya. Lelaki itu memegang sapu tangan. Mungkin selsema.

Sekarang musim hujan. Ramai juga yang selsema, tak kurang juga bilangan yang demam.

Kepala lelaki itu terangkat-angkat sedikit. Seakan menghirup nafas. Terdengar bunyi udara yang ditahan hingus. Dan..

"Haaashcuummm!!"

Kuman tersembur keluar.

"Segala puji bagi Allah.."

Li Wei mengalih kepala memandang.

"Semoga Allah merahmati kamu.."

Li Wei tertoleh. Suara itu dari kanan belakang. Dia melihat seorang lelaki di sebelah hujung kanannnya seakan mendoakan. Kenal ke?

"Haaashcuummm!!!"

Kepala lelaki tadi tersengguk ke hadapan sekali lagi.

"Segala puji bagi Allah.."

Li Wei terpegun sebentar.

"Semoga Allah merahmati kamu.."

Terdengar pula doa yang sama dari sebelah kiri. Beberapa orang. Seakan bergema perlahan. Laju dia menoleh. Dia pula yang jadi tak keruan. Apa sedang berlaku?

Seorang budak lelaki kecil. Masih berbaju sekolah menengah berbuat perkara yang sama. Mata ayunya menjeling pula seorang pakcik di sebelah yang terkumat kamit membacakan doa yang baru didengari. Yang lain juga serupa. Perlahan. Tapi masih dapat ditangkap desir bunyi.

Hatinya tertanya-tanya.

"Kalau dengar orang bersin sebut alhamdulillah cakap apa?"

Seorang ibu bertanya anaknya.

"Semoga Allah merahmatimu.."

Pelat anak kecil itu menyebut.

Lelaki yang bersin tadi tersenyum. Perlahan menyambut.

"Semoga Allah menghidayahi kamu, dan memperbaiki keadaan kamu.."

Pipi putihnya mengukir senyum, dan air mata Li Wei yang sedia bergenang, hampir jatuh menitis.

****

-Sekarang musim hujan. Best! :) Selsema tak? ~
-Perkongsian dari study circle tadi. Antara haq muslim terhadap saudaranya ialah mendoakan saudaranya yang bersin dan mengucapkan hamdalah..

Penita: Ilham

green by ~i-shadow by DeviantArt

****

Dziaulhaq menaip. Jari jemarinya ligat menari di komputernya. Menari balet mungkin. Bunyi ketukan keyboard pun dah seakan cakera hitam yang melagukan musik Jazz.

Dia mengerutkan wajah.

Harga minyak naik lagi hari ini. Dari rm 2.30 ke rm 2.40. RON 97.

Bukan baru naik ke?

Kepala terasa berpusing. Tak faham. Sebelum ni, dia pernah membaca di Kosmo 3 November lalu bahawa RON 95 tak akan naik. Tapi tak sampai sebulan selepas tu dah naik.

Assignment programming itu ditinggalkan sebentar.

"Assalamu'alaikum. Sori Ilham ganggu Haq. Haq apa khabar? Haq kat mana?"

Mesej masuk.

Haq tersenyum. Ilham.

"Wa'alaikumussalam. Tengah buat assignment dan fikir masalah dunia sekarang. Ilham? Kat bilik.."

"Kita kayak petang ni?"

"Ok :) "

Ilham, seunik namanya. Begitulah orangnya.


****

"Haq tension ya?"

"Mana ada la.. Kan Haq selalu happy ja.."

"Ye la tu, muka dari tadi dah macam muncung kayak.."

Haq ketawa.

"Mana ada, ok ja.. Cuma tengah berfikir.. Kadang-kadang dalam hidup ni, banyak yang kita nak..  Kan?"

Ilham angguk laju.

"Tapi bila teringat sesuatu, Haq jadi tenang.."

Petang itu tenang. Rumput-rumput seakan baru tumbuh. Amat hijau. Sehijau hati mereka sekarang.

"Teringat apa?"

"Allah itu, Al-Wahhab.."

Haq tersenyum puas. Nama Zat yang maha agung terasa bergema di jiwanya.

Ilham menjeling.

"Maksudnya apa?"

"Maksudnya, Allah ni maha memberi."

Betul-betul. Teringat buku yang dibaca di library. Al-Wahhab ni maksudnya maha memberi. Dengan amat melampau.

"Contohnya, Haq?"

"Contohnya, Allah memberi dalam kita belum sempat meminta. Allah bagi pengampunan, yang kadang kala kita tak sempat nak bertaubat.."

"Allah beri segalanya.. Cuma kita ja. Nak, atau tak?"

"Segala-galanya..."

Ilham mengulang perlahan.

"A'ah..Apa saja..."

Haq tersenyum.

"Erm, kalau Haq, Haq nak minta apa?" Ilham bertanya.

Haq menjeling. Menampakkan giginya yang putih.

"Haq nak..."

"Erm?"

Ilham mengangkat kening.

"Ilham."

Ilham tertunduk segan.

****

Saat resah, saat gelisah.
Kau hadir,
Ilham.

Menghaluskan yang kasar,
Menyenangkan yang sentiasa segar,
Kau tetap seperti namamu,
Ilham.

Terbanglah kamu Ilham,
Menyusup lembut ke hatiku,
Moga aku selalu sepertimu,
Moga aku tenang.
Seperti selalu..

:)

Friday, January 7, 2011

Penita: Hafis

~grass by ~bagi1992 of DeviantArt~

****

Duduk di atas bukit.

Memandang UIA Gombak yang terbentang luas. Warna bumbungnya yang melaut biru, seakan terpercik  dari warna langit yang menenangkan.

Dua sahabat itu duduk melindung rumput.

"Usrah mu ok?"

Hafis Firdaus meleret senyum. Perkataan usrah itu seakan gula yang melebur di telinga. Manis.

"Alhamdulillah.. Cuma biasalah, kadang-kadang susah jugak nak pastikan semua datang.. Nak kena ada makanan, baru nak datang.."

Majdi ketawa. Biasalah, makanan kan harta ghanimah yang paling menawan.

Moga-moga kelansungan tarbiyyah tetap berjalan.

"Erm, dah berapa lama tak balik?"

Soalan terpacul perlahan.

Minggu-minggu yang ada, pastinya terisi. Rindu pula pada rumah. Pada suasana dan persekitarannya.

Hafis cuma diam, mendengar.

"Aku rindukan keluarga...Kampung, kawan-kawan lama.."

Majdi merenung.

Tanggannya memeluk lutut. Terasa lemah dalam hati. Terasa lemah dalam berjuang.

"Rasa cemburu pula dengan mereka yang bahagia dekat keluarga mereka. Dapat untuk pulang setiap minggu.."

Pengorbanan yang mesti dikorbankan. Pasti bukan sikit.

"Dan dapat buat segala apa yang diorang suka..."

Majdi tersenyum sendiri.

"Kadang-kadang, aku rasa sepi sangat.."

Perjalanan ini sudah jauh. Malah ia jauh lagi. Sekarang, ianya di tengah medan. Di tengah sebuah misi. Sebuah misi dan matlamat yang perlu dilaksanakan. Sebuah panji yang mesti dipacakkan.

Hafis menoleh.

"Sahabat, kita perlukan teruskan..."

Memberikan sebuah senyuman ikhlas.

"Perjuangan kita ini, demi mencari.. Keredhaan ilahi.."

Terasa tenang.

"Kita hanya ada sekali sahaja masa muda ni.."

"Moga-moga, kita tak menyesal di esok hari.."

"Dan nanti, kita dapat berbangga dengan hari ni di akhirat nanti.."

Majdi mengangguk, tersenyum.

Matahari petang itu hening. Sehening hati yang begitu rindukan redha ilahi..

****

Pabila kuberada di kejauhan
Adakala ku kesepian
Asyik terkenang kampung halaman
Dan jua teman - teman

Di kala itu kan kurasa
Agak kelemahan
Untuk Berjuang
Melihat mereka berbahagia
Di samping yang tercinta kegembiraan

Ku kesepian
Mujur ada teman seperjuangan
Menyatakan kita harus teruskan
Perjuangan ini
Demi mencari keredhaan Illahi

Masa muda dilalui
Hanya sekali
Pergunakannya agar kau
Tidak sesali diesok hari

Ketenangan ada di sini
Tak jumpa karena kau tak mencari
Kebahgiaan tersirat dihati
Tak rasa kerana kau tak menghayati

Brothers- Sepi Perantau.

Sunday, January 2, 2011

Puisi: Ingin sehebat mereka

~Window by ~Myrtillis of DeviantArt~

****

Waktu-waktu yang terus berjalan,
Aku melihat mereka-mereka yang tegap melangkah, begitu hampir di sisiku.
Berderap perlahan, dan ketawa dengan wajah yang meredup.
Walau mereka tahu,
hari-hari yang mendatang untuk mereka, pasti akan selalu menagih pengorbanan.

Untaian kata yang dilontarkan, bagai membekukan masa.
Dan telinga yang sebelumnya leka, terasa hanya ingin terus mendengar.
Namun ia bukanlah untuk sebuah kehebatan.
Tetapi warna dari sebuah perjuangan,
Ikhlas.
Walau apa yang mereka lakarkan, itu pasti kerana Tuhan
Maka mereka menjadi mulia.

Langsir putih akhirat itu tersingkap.
Di ikat kemas.
Bila ditarik,
Terlihatlah dunia.
Dan mereka sedar, dunia ini.
Rupa-rupanya hanya sebuah mimpi.

Terus berlari-lari ke atas gunung.
Melaungkan,
"Islam itu tinggi! Islam itu tinggi"
Terasa amat letih, amat lesu.
Mereka tetap menarik senyum.
"Demi redha Allah, demi redha Allah.."

Begitu teringin menjadi seperti mereka, aku juga ingin terbang, tinggi.
Tinggi-tinggi.
Walau cuma hati.
Walau cuma hati seperti mereka.
Seperti jelingan mesra subuh mereka yang ku lihat selalu..

****

"Dia (Musa) berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku"

"Dan mudahkanlah bagiku, tugasku"

"Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku"

"Agar mereka faham perkataanku"

"Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku"

"Iaitu Harun saudaraku"

"Teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia"

"Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku"

"Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu"

"Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu"

"Sesungguhnya Engkau maha melihat (keadaan) kami"

-Tahaa 25-35

****

Teringin menjadi seperti sahabat-sahabatku yang hebat dalam dakwah dan peribadi mereka.. Yang memimpin juga yang dipimpin. Akan ku jadi Nabi Musa, dan Nabi Harun yang menguatkan..