~ http://missayleen.deviantart.com/art/Romantic-Morning-149572516?q=boost%3Apopular+morning&qo=71 ~
Sebuah pagi.
Sebuah cerita,
Bersama secangkir senyuman yang memberi bahagia.
Dingin pagi ini terasa begitu sejuk,
Lalu ku selimutkan dengan kebaikan yang kau tunjuk.
Seperti selalu,
Dan pabila ku terkenang sendiri,
Kau ibarat malaikat yang turun ke hati..
****
“Adik duk belakang, biar abang jadi imam..”
Farah terangguk-angguk mengikut. Kain telekung kecilnya itu labuh sampai ke bawah. Baru umur 3 tahun, nampak comel sangat berpakaian begitu.
“Ikut macam abang buat tau..”
Pelat . Si adik terangguk-angguk lagi.
Si ayah dan ibu tersenyum ketawa, senang melihat anak-anak mereka. Si abang pula baru berumur 4 tahun. Memakai kopiah putih yang senget dan baju melayu hijau cair.
“Allahuakbar!”
Farhan mengangkat takbir dalam pelatnya. Farah hanya mengikut laju.
“Allahuakbar!”
Farhan bertakbir lagi, angkat tangan macam nak rukuk, tapi terus sujud. Farah hanya mengikut dengan mata terkebil-kebil.
Si ayah dan ibu yang melihat ketawa.
****
Meniarap di atas katil.
“Besar nanti abang nak jadi macam Khalid Al-Walid!”
“Farah nak jadi macam Sayyidina Khadijah!”
Kedua-duanya sedang membaca buku wirawan dan serikandi Islam.
“Khalid, Khadijah, cepat masuk tidur! Esok nak pergi sekolah pula..”
Ummi menutup lampu.
“Ala Ummi!!…”
Rindu ingin berjumpa,
Sungguh benar terasa..
Tangan mencoret perlahan. Kenangan terasa bergambar di minda. Sepuluh dan lima belas tahun lalu, terasa begitu dekat.
“Hah, rindu siapa?!”
Bahu disergah dari belakang. Ni mesti Aisyah, jenis suka bagi orang sakit jantung mati cepat. Kerja nak sergah je.
“Rindu abang sayang..”
Kertas terus diconteng.
Bulat mata Aisyah mendengar.
“Sejak bila enti pandai bersayang-sayang ni?”
Haha. Padan muka.
Farah menggayut senyum.
“Ni abang ana la..”
Sejak dari kecil, abang lah yang paling rapat. Bergaduh, makan, sembahyang, jalan pergi sekolah sama-sama.
Abang orang yang paling suka suruh rapat dengan Allah selepas abah. Selalu pesan suruh jadi wanita solehah macam ummi. Yang selalu mengomel berleter panjang kalau terlambat sembahyang.
Yang selalu tolong betul tudung bila terherot dan nampak rambut. Dari darjah satu, sampai la waktu nak fly.
-1996-
“Baguslah adik abang dapat belajar jauh-jauh.. Nanti balik boleh bagi cahaya pada kami..”
Waktu tu wajah abang nampak tenang, selayaknya raut lelaki soleh. Dengan kopiah putih yang selalu dipakai, dan baju melayu yang sudah pun berusia 3 tahun.
“Abang..”
Air mata dah mengalir.
“Dah, jangan menangis. Nanti di sana, cari ilmu banyak-banyak.. Jadi wanita solehah.. Barulah boleh jadi Sayyidatina Khadijah..”
Farhan mengucup dahi adiknya.
“Jangan lupa balas surat adik tau nanti..”
Farhan tersenyum.
“Mestilah abang tak akan lupa..”
Wajah Farah kembali berbunga ceria.
Surat berbalas. Setiap tahun pasti ada kata-kata nasihat dari abang. Abang pernah kata juga nak sambung belajar ke luar Negara juga jika dapat. Tapi surat terhenti, balasan kini sudah tiada.
Tanya ummi abi, ummi cuma cakap abang kerja.
Rindu dengan abang semakin mendalam. Dalam sangat.
****
“Adik dah solat?”
“Belum”
“Jom lah solat sekali.. nanti baru Allah sayang..”
****
Gadis bertudung labuh itu berjalan laju keluar dari tempat bagasi.
Kelihatan seorang lelaki dan seorang wanita sedang menunggu bersama. Kelihatan bebrapa kedutan di dahi.
Ya Allah..
“Ummi! Abi!”
Farah memeluk erat ibu dan ayahnya. Air mata tak dapat ditahan. 7 tahun tinggal jauh di perantauan tidak bertemu benar-benar menggamit rindu. Air matanya mengalir lebih laju. Terlalu gembira.
Farah teringat sesuatu.
Dia menoleh-noleh ke kiri dan kanan. Menjenguk ke belakang.
“Ummi, abang mana?”
Farah masih menjenguk, tak sabar berjumpa abangnya. Pasti abang dah jadi lagi alim dari sebelum ni.
Puan Fauziah memandang encik Kamal. Ada perubahan pada wajahnya. Meminta suaminya menjawab, seakan tiada jawapan yang mampu diberikan.
“Abang ada di rumah.. Ada kerja sikit..“
“Oh..”
Wajah Farah sedikit mendung. Sampai hati abang tak sambut. Dah la lama tak jumpa.
“Adik dah makan?”
Ummi bertanya. Encik Kamal membantu mengangkat barang Farah.
Farah menggeleng.
“Jom kita makan..”
Farah angguk, wajahnya kembali berseri.
****
Sepanjang perjalanan, Ummi dan Abi asyik bertanya tentang keadaan di sana. Dan farah pula semangat bercerita. Perjalanan ilmu yang panjang di bumi anbiyak.
Farah duduk di sofa, menanti abangnya pulang.
Wajahnya berseri tersenyum.
Dalam hati, ada hadiah kejutan yang disediakan untuk abangnya. Dia melihat-lihat ruang di rumah. Tak banyak yang berubah.
Bilik belakang tempat selalu solat dan mengaji quran dengan abang. Rak yang sama tempat kumpul buku srikandi dan wirawan Islam. Dan bakul mainan yang masih ada. Rindunya main perang-perang dengan abang dulu.
“Prangg!!”
Terdengar bunyi botol pecah.
“Sial!!”
Farah kalut mengintai dari celah tingkap. Kelihatan seorang berjambang serabai tidak terurus dan berseluar pendek. Wajahnya dari tepi nampak serabut. Berjalan terhuyung hayang seakan mabuk. Bau arak terasa menusuk hidung.
Mengangkat tangan kepada rakan yang menghantarnya. Kemudian berpaling..
Waktu seakan terhenti. Denyut nadi terasa tidak mahu terus berjalan. Cuma air mata Farah yang kini mengalir perlahan..
“Abang…”
Air mata mengalir lebih deras.
****
8 tahun dahulu:
"Maafkan ana, tapi 2 tahun terlalu lama.."
Farhan duduk termenung. Termangu memandang langit biru yang terlentang luas. Redupan awan dan kicauan riang burung tak mampu mendamaikan hatinya yang hiba. Nafas rasa sesak mengulir di dada. Sungguh, perasaan itu amat menyakitkan.
"Semoga enta jumpa yang lebih baik dari ana.. InsyaAllah.."
Jiwanya ibarat alam mendung yang menanti hujan.
Peristiwa semalam bergolak di fikiran, berombak, dan menghasilkan keluhan yang berat di nafas. Tunangnya, Munirah Syahirah meminta sesuatu yang amat mengejutkan. Putus tunang. Keluarga Munirah mahu dipercepatkan perkahwinan.
Dia hanya meminta 2 tahun. Kerana itu waktu yang dia mampu. Dan bagi keluarga Munirah, 2 tahun itu suatu angka yang terlalu lama.
Kepalanya terasa serabut.
Seakan terdengar bisikan tarbiyyah suara teman baiknya, Hilman.
"Walau cinta itu ada. Tapi ia tak selalunya berakhir dengan bersama. InsyaAllah, hikmahnya pasti lebih bermakna.. Percaya, cinta Allah sentiasa bersama.."
Dia beristighfar.
Mesir.
Ya, tempat yang akan dia membawa diri. Membawa hati bersama seluruh perasaan yang ada. Mencari hikmah yang diingatkan temannya. Dan hari ini adalah keputusan permohonannya, sama ada impiannya sejak sekian lama akan tercapai, dan lakaran cita-citanya dapat diwarnakan.
Pin!! Pin!!
Bunyi hon kedengaran. Kelihatan seorang posmen mengangkat surat. Dia gegas berlari.
"Terima kasih bang.."
Surat diambil, tangan terasa sedikit menggigil. Surat dari pihak tajaan. Posmen tadi menganggukkan kepala seraya beredar.
Dia sudah begitu lama menanti untuk hadir ke bumi anbiyak itu.
Sebahagian semalam yang gelap, semoga sebahagian hari ini yang cerah pula.
Dia merenung sampul di tangan. Mengoyak perlahan. Hati terasa berdebar. Makin kuat. Dia membaca setiap patah perkataan satu persatu. Sehingga..
"Pihak kami meminta maaf, permohonan anda untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara ditolak..'
"Arghhh!!!!"
Himpitan kecewa itu terasa terlalu membebankan. Bertimpa dari kekecewaan yang bersambungan. Iman terasa kelam.
Di luar langit semakin gelap menuju senja.
Keesokannya:
Hilman- itu satu-satunya teman baik yang dia ada. Yang paling Farhan sayang. Senyumannya yang selalu menenangkan. Kata-katanya yang sentiasa menyenangkan.
Setiap masalah, Hilman yang selalu menguatkan.
Dan untuk dirinya yang kini bergoncang kuat dengan ujian taqdir dan keimanan, dia amat perlukan temannya sekarang. Hati yang galau dan remuk ini perlu segera diubat.
Di waktu-waktu begini, syaitan akan kuat membisik: Allah tidak adil! Kenapa mesti aku?!
Sulaman iman yang sebelum ini dianyam kemas cuba dirungkaikan syaitan dengan bisikan ujian.
9.00 malam. Farhan melihat jam di tangan. Tak sabar meluahkan segala yang terpendam. Dia bergegas menuju ke restoran yang dijanjikan.
"Farhan.."
Farhan berkalih. Wajah jernih sahabatnya terukir senyuman. Dia terus berlari mendapatkan Hilman.
PINN!!!
Hon kereta kuat kedengaran. Disusuli dengan bunyi brek yang kuat. Dirinya terasa kuat ditolak.
TUMM!!!
Di depan matanya Hilman terkulai. Darah membasahi jalan.
"HilmaaNNNN!!!
Farhan memangku sahabatnya. Sakaratul maut sudah terbayang di hadapan.
"Arghhh!!!! Kenapa ya Allah??!! Kenapa??!!!!
****
Haisyumm!!
Farhan mengesat hingus adiknya. Farah memeluk tubuh dalam baju sejuk
"Tau tak kenapa Allah bagi adik demam?"
Menggeleng. Bersin lagi.
"Sebab Allah sayang adik dan nak bagi adik ingat Allah selalu.."
Farah tersengih suka dalam lelehan hingusnya.
****
"Come on baby!! Kita dah lambat!"
Dentuman muzik bergema kuat. Lagu In Da Club oleh 50 cent merancakkan gaya mereka yang di dalam kereta.
Seorang lelaki berambut perang di tempat memandu yang sedang menghisap rokok, dan 2 orang wanita berpakai seksi di belakang. Seorang lagi wanita pula yang berskirt pendek dan bermake-up tebal pula berdiri menunggu di tepi kereta.
"And you should love it, way more then you hate it. ***** you mad? I thought that you'd be happy I made it!"
Kepala dianggukkan mengikut rentak lagu.
Farhan menyarungkan seliparnya. Melangkah menuju kereta.
"Abang..."
Farah berdiri di pintu. Tangisannya mula mengalir. Keadaan itu terlalu menyebakkan. Melihat mereka yang di dalam kereta menyebabkan air matanya mengalir lebih laju.
Langkah Farhan terhenti.
Berpaling, melangkah dan berhenti benar-benar di hadapan adiknya.
"Jangan pergi abang.."
Tangisannya lebih teresak.
Farhan melihat lama wajah adiknya lama. Mengangkat tangan dan meletakkan jarinya di pipi Farah. Air mata Farah dikesat.
"Maafkan abang.."
Kemudian dia berpaling, dan terus melangkah menuju ke kereta..
****
'Umar al-Khattab menuju ke rumah adiknya dalam keadaan meradang dan murka. Mendengar adik dan iparnya memeluk agama Islam menyebabkan daranhnya mendidih.
"Wahai Fatimah, buka pintu rumahmu atau akan aku pecahkan!!"
Mendengar suara abangnya, Fatimah dan suaminya Said segera menyuruh Khabbab yang hadir mengajar kalam Tuhan untuk segera menyembunyikan diri.
Cemas.
Fatimah segera membungkus lembaran Al-Quran yang diajar Khabbab. Bunyi ketukan semakin kuat dan ancaman semakin deras. Said akhirnya membuka pintu.
"Suara siapa yang aku dengar sebentar tadi??"
"Tak ada siapa melainkan perbualan biasa antara kami.."
Umar berkata,
"Boleh jadi kamu berdua juga telah keluar dari agama.."
Said membalas,
"Apa pandangan kamu sekiranya kebenaran itu bukan pada agamamu?"
Mendengar itu, 'Umar tanpa berlengah menerkam ke arah iparnya dan melanyakkannya dengan kaki sehabis tenaganya.
Melihat suaminya dipukul, Fatimah segera membantu.
"Pang!!"
'Umar menampar Fatimah sekuat hayunan tangannya.
Wajah Fatimah mengalir berdarah.
"'Umar! Kalau kebenaran itu bukan pada agamamu, mengakulah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan mengakulah bahawa Muhammad itu pesuruh Allah!"
Melihat wajah si adik yang berdarah, 'Umar berhenti. Rasa menyesal hadir.
"Berikan kitab yang bersama kamu itu untuk aku menatapnya.."
Fatimah berkata,
"Dirimu kotor, ayatnya bersih dan tidak boleh disentuh kecuali orang yang bersih. Sucikanlah dirimu.."
'Umar bersuci kemudian mengambil kitab dari Fatimah lantas membaca.
"Tahaa.."
Sehinggalah kepada ayat,
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."
Pintu hidayah diketuk.
'Umar berkata,
"Betapa eloknya kata-kata ini dan betapa mulianya, ayuh tunjukkan aku di mana Muhammad berada sekarang ini.."
Dan kini cahaya iman di Mekah semakin menyinar..
****
Langkah Farhan terhenti.
Ayunan kaki menuju ke biliknya terkaku di situ. Sudah terlalu lama suara merdu itu tidak didengar dialunkan begitu. Sudah terlalu asing dirinya mendengar gemersik indah ini.
Dia berjalan mendekat ke pintu.
Melihat adiknya sedang bersimpuh di atas sejadah. Dia cuba memekakan telinga. Memahami sesuatu yang telah amat lama ditinggalkan.
Jantungnya terasa berdebar.
"Tha Haa."
"Tidaklah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan."
"Melainkan hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah."
("Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi."
"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy."
"Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi."
"Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi."
Farah teresak. Bacaannya terhenti. Merayu dalam tangisan.
Meneruskan bacaan. Farhan terus mendengar sehingga tiba ayat,
"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."
Berderau jantungnya. Air mata bergenang, mengalir perlahan. Menyusuri pipi yang sudah lama tidak dibasahi tangisan rindu kepada Tuhan.
Farhan membuka pintu. Memandang Farah dengan mata yang basah.
"Adik, bantu abang kembali ke jalan Allah.."
****
"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras.."
"Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya.."
"Ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya.."
"Dan Allah tiadalah lengah terhadap apa yg kamu kerjakan.."
Al-baqarah 74
****
Epilog:
Berlari bersama abang. Si kecil itu mengendong beg sekolah.
"Abang, tunggulah!"
Farah tersepak batu. Terjatuh. Sakit terasa. Beg tersembam ke tepi. Raut wajah si comel itu berubah. Ingin menangis.
Tangan dihulur.
"Abang.."
Si abang tersenyum.
"Nanti, bila abang pula yang terjatuh, Farah angkat dan selamatkan abang ya?"
Farah mengangguk. Wajahnya manis.
"Nanti bila abang jatuh, adik mesti akan selamatkan abang.."
Farhan tersenyum..
❀ܓ
*Kisah Sayyidina 'Umar diambil dari kitab Raheeq Makhtum dan Buku Abdul Latip Talib