Followers

Letakkan link blog anda =)

Wednesday, December 2, 2015

Tulip perjuangan




****

Maka tidaklah lama enam purnama itu, tatkala berlalunya ayyaman yang banyak bak bilangan bintang di langit, berjumpalah kita hendakNya di atas gerabak kehidupan panjang beroda banyak menuju negeri abadi nun jauh di sana..  


****


Aku sentiasa suka berada di dalam rumah ini, usang dan lama. Tapi tenang dan menyenangkan, seperti ukiran batik yang senantiasa tercorak seni di kain.

Mungkin juga pada Si Tulip di dalamnya.

"Sudah berapa lama hidup?"

"Ermm, 23 tahun.."

"Jadi?"

Si bunga Tulip tersenyum. Tangannya tidak berhenti melakar. Sejak keluhan pertama aku tadi.

"Jadi..."

Aku mengulang ayat tersebut.

"Dah 23 tahun.. Dah lama bernafas.. Tapi baru nak kenal hidup, baru nak berbakti pada Islam, baru nak mula segala-galanya.."

Si Tulip hanya tersenyum mendengar. Itulah kebiasaannya, lebih banyak tersenyum. Dan senyuman itu yang membuatkan dirinya mekar.

"Sedangkan orang lain sudah jauh..Sangat jauh.. Membawa Islam dengan sesungguhnya.. Yang menulis, yang melukis, yang tak pernah kenal letih.. Yang dah rasa tenangnya hidup dalam menaiki tangga menuju ke syurga.."

"Jadi.."

Si Tulip mengulang lagi. Kanvas putih itu terus berwarna warni.

"Err.. Jadi..?"

Aku tidak dapat menangkap

"Kenapa tak mulakan untuk meniti tangga syurga yang pertama?"

****

Matanya terpejam, kenangan lampau terimbas sejenak.

Dalam senyuman, air mata mengalir. Terlihat jelas di hadapan wajah yang banyak membentuknya. Banyak menyiram air ketabahan, sehingga mekarlah Si Tulip ini dilihat indah.

Dulu-dulu dia pernah bertanya,

"Kenapa sesusah ini hidup?"

"Berapa lama?"

Hati menjerit, lama. Dan rasanya, perit.

Dan orang yang mengajarnya senyum menjawab,

"Kan Nabi Ayyub lebih derita. Kan para nabi, rasanya lebih lama.. "

"Sebab Allah sayang lah tu.."

Berus lukisan itu terus menari. Tercalit warna kuning, kemudian terselit warna hijau. Tanda damai. Ditekan sedikit. Cat minyak itu terkeruping,

Terbentuk satu bentuk,

Cahaya.

****

Katanya Si Tulip, sabar itu ada dua.

Sabar dalam beribadah dan berjuang, dan sabar dalam menongkahi bahtera hidup. Kedua-duanya punya kata yang sama, cantik. Ya, sabar itu cantik.

Kata Si Tulip, sabar itu tiada batas.

Ya, siapa yang meletakkan batas? Sedangkan Allah sendiri membalasnya tanpa batas. Hanya kita yang meletakkan sempadan.

Malah, Dia yang sentiasa menjadi teman.

Otaknya ligat berputar. Baru-baru ini ada serangan di Paris. Sebelumnya Charlie Habbo pernah diserang, dan dibunuh. Ramai rakyat Perancis yang bangun marah dan bangkit.

Dan Islam difitnah. Islamophobia merebak.

Isu di Myanmar. Syria. Palestin

Isu banjir. Isu negara.

Dan aku?

****

Aku menaiki tangga usang itu sekali lagi. Berbunyi kret-kreot bila dinaiki. Si Tulip sudah sedia menyambut tersenyum.

Kadang aku terfikir, adakah wajahnya memang sudah tercipta begitu? Tercipta untuk sejuk mata memandang. Untuk sentiasa senyum tanpa lekang.

Kopi dituang, harum semerbak.

Memang cita rasanya begitu. Vintage. Digoncang-goncang.

"Minumlah.."

Aku meneguk mengangguk.

Kemudian mengerling ke lukisan yang sudah siap.

"Tulip?"

Ada beberapa tangkai.

"Tulip ini dasarnya melangkah. Seperti warnanya yang naik merona. Punya makna pada nilainya yang tersendiri.

Naik di tengah-tengah taman, dan menyegarkan seakan-akan satu jambangan.

Bermula di Parsi seawal abad ke sepuluh, dan kemudian di Turki. Ianya seni dalam budaya. Banyak ditanam ketika Empayar Uthmaniah, dan apabila ia kembang penuh, ia seakan-akan serban orang Turki. Tulip juga pernah disebut oleh Omar Kayam dan ahli sufi terkenal, Celaleddin Rûmi.

Tulip ini lambang cinta sempurna. Cinta di tengah perjuangan yang penuh kesabaran dan ketabahan."

Wajah Si Tulip kelihatan sungguh menghayati.

Kopi diteguk lagi. Kali ini rasanya berlainan, mungkin kerana dicampur dengan adunan rasa. Aku meneguk lagi.

"Tapi kenapa Tulip? Bukankah banyak lagi bunga di sana?"

Tangan lembut itu membelai hasil karyanya, seolah-olah berada di waktu yang berbeza.

"Kerana Tulip adalah bunga pertamaku. Kerana Tulip adalah bunga untukku.."


****


Betapa dulu dia rapuh, dan wajah itu membuatkan dia ampuh. Betapa dulu dia hampir rebah, dan suara itu selalu membuatnya tabah.

Saat-saat hati remuk rendam. Kala titisan hujan itu seperti duka yang bersiram. Waktu hari-hari adalah tangisan.

"Ada berapa tingkatan syurga untuk orang yang berjuang di jalan Allah?"

Soalan itu entah sudah kali ke berapa ditanya. Dia tahu, bukan jawapan yang sebenarnya diintai, tapi pintu harapan di belakangnya.

"Seratus.."

Dia tersenyum.

Kerana syurga itu punya seratus tingkatan bagi orang yang berjuang. Pasti beza satu tingkatan dengan tingkatan yang lainnya. Jika kita ini dicabut nyawa esok, dengan amalan kita, di mana tingkatan syurga kita?

"Berjuang dan bersabar.. Bukankah yang Allah cuba itu, mereka yang Allah cinta?"

Tersenyum lebih lebar.

Betapa dia tumbuh perlahan-lahan. Dari layu kepada segar. Dari lemah kepada bugar.

Suara redup itu selalu berkata mengingatkan, saat kita memikirkan masalah yang lebih besar, masalah umat, maka masalah kita akan terlihat kecil, akan luput ditelan keresahan yang bermanfaat.

"Kamu ini berbeza dengan yang lain, kamu istimewa.."

Sebuah jambangan Tulip dikeluarkan.

"Ini untuk kamu.."

****

Bila terasa berat perjalanan itu menyinsing, di layar jauh tak mungkin bersauh. Sebelum kau jumpa pulau indah untuk berlabuh, kau akan sedar laut itu nyaman untuk kau berteduh..

****

"Terima kasih!!"

Aku menjerit girang. Entah kenapa terasa terlalu menggirangkan. Tulip. Si Tulip. Dan lelaki itu. Ia seakan-akan membuatkan aku ingin berlari sekarang mengejar mimpi.

Kopi dan pisang goreng sudah selesai. Masih berbekas rasanya di mulut.

"Lepas ni nak ke mana?"

Si Tulip bertanya. Wajahnya kelihatan bercahaya di usia itu. Masih anggun. Selayaknya Tulip dan senyumannya. Selayak

"Nak ke mesyuarat Mak Long.. Ada program untuk gelandangan dan pelarian Syria.."

Wajah isteri Pak Long ku itu ditatapi. Aku tak pernah berjumpa dengannya, kerana dia sudah lama pergi. Tapi dia lah lelaki itu. Lelaki yang menjadikan Mak Long inspirasiku.

"Baik-baik, semoga Allah redha.."

Memakai kasut, dan kemudian aku berlari anak melambai. Disambut kembali dengan senyuman Si Tulip.

Yang terus mekar..

Thursday, March 26, 2015

Nota: Tentang Sabar


~ cup of coffee by johnberd of deviantart.com ~


Sempadan Sabar.

"Sabar pun ada sempadannya.."

Adakah benar sabar itu punya sempadan. Jika benar, di manakah sempadannya?

Tak ada.

Siapa kata sabar itu ada batas dan sempadannya? Sebenarnya kta yang meletakkan batas itu, kita yang meletakkan limitasinya.

Maka sempadannya adalah kita.

Belek surah Az-zumar, bacalah ayat kesepuluh darinya.

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala (atas) mereka tanpa batas."

Pahala untuk sabar ini tiada sempadan.

Kerana sabar itu sendiri tiada sempadannya.

Lebih dalam kita merasakannya, pasti lebih dalam pahala yang kita dapat.

Sakit.

Dan pasti, sabar itu ialah satu kesakitan. Kerana sabar itu menahan, memendam dengan sangat susah dan perit.

Kerana apabila kita melepaskan, terburai segala amarah.

Tiadalah namanya sabar jika tiada kesakitan. Kerana pada sabar itu terkumpul segala air mata dan kelelahan, keresahan dan bingung.

Malah semua rasa yang tidak tertanggung.

Walau kadang, ada yang tersenyum. Tapi ianya hiasan yang menutup hati yang sedang remuk.

Kerana di situlah selalunya terpancar cahaya.

Dan sabar itu, semakin ia dalam, maka pasti ganjarannya, terus menerus melimpah..

Tanpa sempadan..

Wednesday, March 11, 2015

Penita: Syair



Tren meluncur laju.

Majdi menggigit hujung straw, Caramel Frappe Dr Café Coffee nya sudah habis. Hanya calitan baki white cream yang comot memenuhi dalam cawan.

Orang tak berapa ramai, cukuplah bagi mewujudkan suasana.

“Syair ni sangat best..”

“Erm?”

Kertas syair Dalam Cinta dan Rindu diambil. Mata melirik. Abi Firasyh Alhamdani, tapi student jurusan Bahasa Arab lebih selesa memanggil sekadar Al Hamdani.

Penyair parsi.

“Dia cerita tentang seorang yang rindu kekasihnya..”

Rangkap ke lima ditunjuk.

“Mu’alliti bil wasli, wal mautu duunahu.
Iza mittu Zhom Aaa Nan fala nazala qatr!!”

“Yang menggembirakan aku hanyalah berjumpa dengan mu,
Dan jika aku kehausan (akibat rindu padamu),
Jangan kau turun wahai hujan! (Biar orang lain juga mati seperti aku)”

Majdi tersengih. Amboih ayat.

Mata seakan cina, dan hidung yang sempurna itu ditatap. Rupanya, ada yang lebih indah dari syair.

“Kenapa?”

“Err, tak ada apa. Kalau rangkap ke enam?”

Majdi kembali ke baitan syair. Cuba menterjemah mengguna kemahiran bahasa arabnya. A kot dulu SPM.

“Badauti wa ahli hadiruun,
Lianni Ara anna daa ran lasti min ahliha qafru”

“Aku pulang dari kampung mu badwi
Sedangkan ahli keluargaku Hadharah,
Kerana aku melihat sesungguhnya kosong rumahmu dari ahlinya tidak berpenghuni..”

“Dia nak kata dia baru pulang dari cari perempuan tu. Dan tak kisah walaupun darjatnya berbeza..”

“Sedap!!”

“Kan?”

Si teman di hadapan tersenyum puas kerana dapat berkongsi.

Alhamdani seorang  panglima perang. Dipenjara sewaktu peperangan dengan Rom. Maka dalam penjara, rasa rindu pada kekasihnya membuak-buak.

Dan ketika itulah syair ini ditulis. Tapi, ada rasa yang membuak walaupun tanpa Rom dan penjara.

Majdi menyandar di kerusi merah tren, menggigit jari telunjuk.

“Ada pen dengan kertas?”

Si teman menghulur, dan disambut. Kening diangkat.

“Nak buat apa?”

“Rahsia”

Majdi mencoretkan sesuatu. Tiga minit, lima minit. Jari terus menari.

“Nah..”

Kertas dipulangkan. Untaian aksara itu bersambung,

“Aku juga pulang dari kampung,
Seperti penyair itu.
Sehingga aku juga digelar penyair..

Kampung cintamu..

Aku pulang dari kampung itu,
Menuju kampung itu.

Tiadalah persinggahanku,
Malainkan hanya kampung itu..

Satu kampung yang kosong,
Redup,
Dan ketawa.

Kerana di sana terbangnya,
Senyum matamu..

Rebahnya resah lesuku,

Dan aku selalu hangat baring,
Dalam dakapanmu..”

Si teman berhati sutera itu tersenyum dan ketawa. Dan secara hakikinya alam menyaksikan mata yang tersenyum terbang.

Majdi menyambung,

“Awak belajar syair.. Tapi saya adalah penyair..”

Dan mata terus terbang dengan lukisan wajah yang semakin memegunkan.