Followers

Letakkan link blog anda =)

Friday, February 26, 2016

Ah, lagi!


****

Ada seorang adik junior mesej tanya.

"Abang Majdi, kalau kita dengar sesuatu yang buruk, kita kena baik sangka dulu kan?"

"Yup. Mestilah.. Cari seribu satu alasan untuk kita sangka baik.."

Saya jawab.

"Susah gak kan?"

Dia mengeluh.

"Susah.."

Saya menjawab.

Rupa-rupanya dia ada mendengar cerita pasal saya. Ah, lagi! Saya tanya apa yang dia dengar. Dia pun cerita. Mula-mula dengar apa yang dia sebut, saya tertawa. Memang merapu dan tak betul. Sampai begitu sekali fitnah yang berlaku.

Sebelum tu saya pernah dengar yang cerita tentang saya yang tak betul juga. Haha.

Begitulah, telefon rosak.

Seorang menyampai dari seorang, dari seorang, kepada seorang yang lain.

Bila mesej yang disampaikan tersilap,
Maka jadilah fitnah..

****

Beberapa kali saya terfikir,

Kenapa suka membawa cerita? Mengapa suka menyampaikan cerita buruk yang kita dengar? Mengapa mulut kita tak berasa sedikit pun berat menyebarkan cerita-cerita  begitu pada orang yang tak layak lansung untuk tahu?

Tak tahu kah mereka, berapa banyak ukhuwwah yang terputus kerana itu? Berapa banyak hubungan yang retak?

Berapa banyak persahabatan yang menjauh.

Berapa banyak prasangka yang timbul.

Sedangkan cerita itu sendiri kita tak tahu benar atau tidak.

Ah, saya cuba hiraukan semua itu. Terlalu banyak perkara yang berat lain untuk saya fikirkan. Tapi, ia tetap menambahkan berat beban saya. Kenapa mereka tak kisah menjadi penyebab kepada masalah orang lain dengan mulut mereka?

Menyebabkan orang rasa susah?

Seperti kata mak saya, tak semestinya kalau kita buat baik pada orang, kita jaga mulut kita, orang akan buat baik pada kita, macam harimau, kalau kita tak makan harimau, harimau makan kita tak?

Haha.

****

"Perempuan memang macam tu.. Akan sebar cerita.. "

"Buat kerja elok-elok.. Sebab perempuan ni akan bercakap sesama kami.. Biasalah tu.. "

Bukan saya kata. Tapi perempuan sendiri yang kata. Sudah beberapa kali saya dengar.

Saya cuma nak kata: Hey, jangan mudah justify begitu hanya kerana rasa sifat perempuan begitu. Berapa banyak sifat manusia yang Islam bimbing, yang Islam cegah, ada juga yang Islam benarkan.

Mengumpat, bawa cerita ni, lelaki pun sama. Saya sendiri biasa dengar. Ada lelaki soleh yang menjaga mulutnya, ada wanita solehah yang menjaga mulutnya dari aib-aib manusia.

Jika ingin meluah, ada jalannya.
Ada orangnya.
Ada tempatnya di sisi Islam.

Bukan bercerita pada sesiapa sahaja lelaki dan wanita.

****

Jagalah lidah dan lisan kita duhai sahabat. Betapa ia memberatkan orang seperti mana beratnya perasaan saya ketika ini.

Mungkin kata-kata saya cuma picisan, tapi dengarlah kata-kata nabi kita yang mulia,

1- Sebuah hadits yang diriwayatkan dari sahabat Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu ketika beliau bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang amalan yang dapat memasukkannya ke dalam surga dan menjauhkannya dari neraka,

kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan tentang rukun iman dan beberapa pintu-pintu kebaikan, kemudian berkata kepadanya:

“Maukah kujelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga itu semua?” kemudian beliau memegang lisannya dan berkata: “Jagalah ini”

maka aku (Mu’adz) tanyakan: “Wahai Nabi Allah, apakah kita akan disiksa dengan sebab perkataan kita?”

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Semoga ibumu kehilanganmu! (sebuah ungkapan agar perkataan selanjutnya diperhatikan). Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah mereka atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka.”

(HR. At-Tirmidzi)

2- Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)".


3- Nabi SAW bersabda maksudnya :

"Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka".

 (Hadis Riwayat Muslim)

****

Sungguh ingin ku redha,
Tapi betapa sesaknya ia bagiku..

Sunday, January 31, 2016

Aku mendung.


***

Aku mendung.

Menunggu hujan yang lebat dan rintisnya menenteramkan.
Menanti kapal-kapal belayar yang senantiasa mengheningkan.
Melihat laut berombak yang hamparannya tak bertebing tiada berpenghujung.
Dan camar-camar yang terbang di kala itu semua.

Aku, mencari diri aku semula.

Di bawah payung yang menahan ributan hujan,
Membasahkan wajahku, yang bercampur dengan air mataku.
Yang aku senang terpujuk untuk menangis tanpa henti.

Dalam rasa sakit yang entah apa batasnya aku tak pasti..

Sunday, January 24, 2016

Merpati Putih di Aya Sofea


~ Picture by https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Aya_Sofia,_Istanbul.jpg ~

****

Merpati putih itu terbang rendah. Mematuk sambil berputar di sekeliling kawannya yang sedikit berbeza warna.

Suasana itu melebarkan senyum pada Zehra yang melatari Aya Sophea. Petang yang awannya mencorak langit biru yang kian perang, sambil ditemani percikan air pancut di sekeliling pokok yang kian meredup.

"Nisilsim?"

"Iyim.."

Ibrahim terus berpusing kemudian mengembangkan jubahnya seolah-olah tarian sufi Sang Rumi, kemudian berhenti mengejut sambil mendepakan tangan lagak habis persembahan. Kopiah merahnya hampir-hampir terjatuh, dan dia cepat-cepat menekupnya dengan tangan.

Dia ketawa. Habis rosak persembahan.

Zehra juga terkekek senyum. Menahan tawanya dengan tangan yang berkelubung winter coat putih.

Dia bangun dari kerusi kayu di bawah lampu itu, mengoyak sedikit roti, kemudian menaburnya di tanah. Si merpati putih dan kawan-kawan berterbangan rendah mengerumun rezeki yang ada.

"İlk kez?"

Ibrahim bertanya. Zehra hanya memaniskan muka mengangguk.

"Evet.."

Ya, ini kali pertama di ke Turki. Dan di depan Aya Sophea ini tempat pertama yang dia lawati. Zehra menyeluk tangan ke poket. Dinginnya, sejuk yang amat.

Zehra menyeluruhi pemandangan di hadapannya, menghayati sepenuh rasa. Kemudian menghirup nafas dalam-dalam. Suaranya gemersik membisik perlahan,

"Kau tahu Ibrahim, Aya Sofea menjadi saksi Sultan Muhammed Al Fatih yang terkenal melayarkan kapal di bukitan, walau beribu tahun, hairan dan kagum itu masih tuntas menumbuh.

Adakah kau mendengarkan aku Ibrahim? Bumi ini sungguh sakti. Di sinilah Jalaludin Ar-Rumi membawa daerah Sufi dengan tariannya yang hingga kini bagi aku masih menjadi misteri. Iya, sudah pasti aku akan ke Konya.."

Zehra diam sebentar.

"Aku bukan saja-saja di sini Ibrahim, aku teringin tahu apa surat-surat cahaya yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi, sampai mana jiwanya mencakupi semua golongan termasuk wanita.. Ah, adakah kebetulan, dia di Turki? Aku pasti Aya Sofea juga termenung kebingungan.

Dan Kamal Attarturk, bapa pemodenan Turki yang terkutuk itu, kau belum ceritakan aku lagi tentang orang yang melawan kejahatannya, Adnan Menderes. Al-fateh moden. Cerita tentang kapal terbangnya yang terhempas dan azamnya, dan akhirnya dia syahid di tali gantung. Bukankah kau berjanji akan bercerita, Ibrahim?"

Ibrahim cuma tersengih. Zehra menyambut dengan senyuman.

"Aku di sini bukan saja-saja, Ibrahim.. Aku mahu tenggelam di dalamnya.. Di dalam Turki.."

Sekali lagi dia menghirup nafas dalam-dalam, menikmati petang Turki.

Dia kemudian menggalas beg yang dibawa. Melangkah setapak dua, bersedia untuk penerokaan yang lebih dalam dan bermakna. Kemudian berhenti berpaling.

"Kau tak nak ikut Ibrahim?"

Kali ini Ibrahim, si merpati putih itu tidak bersuara dan terus terbang rendah. Layaknya seekor burung. Mengibaskan-ngibaskan sayap saljunya yang terasa hening disimbah cahaya tenggelam matahari.

Aya Sofea. Merpati Putih. Ibrahim.

Zehra tersenyum.

"Tekrar görüşürüz!!"

****

Majdi Nadwan
1845
151116
Aya Sofea

Wednesday, December 2, 2015

Tulip perjuangan




****

Maka tidaklah lama enam purnama itu, tatkala berlalunya ayyaman yang banyak bak bilangan bintang di langit, berjumpalah kita hendakNya di atas gerabak kehidupan panjang beroda banyak menuju negeri abadi nun jauh di sana..  


****


Aku sentiasa suka berada di dalam rumah ini, usang dan lama. Tapi tenang dan menyenangkan, seperti ukiran batik yang senantiasa tercorak seni di kain.

Mungkin juga pada Si Tulip di dalamnya.

"Sudah berapa lama hidup?"

"Ermm, 23 tahun.."

"Jadi?"

Si bunga Tulip tersenyum. Tangannya tidak berhenti melakar. Sejak keluhan pertama aku tadi.

"Jadi..."

Aku mengulang ayat tersebut.

"Dah 23 tahun.. Dah lama bernafas.. Tapi baru nak kenal hidup, baru nak berbakti pada Islam, baru nak mula segala-galanya.."

Si Tulip hanya tersenyum mendengar. Itulah kebiasaannya, lebih banyak tersenyum. Dan senyuman itu yang membuatkan dirinya mekar.

"Sedangkan orang lain sudah jauh..Sangat jauh.. Membawa Islam dengan sesungguhnya.. Yang menulis, yang melukis, yang tak pernah kenal letih.. Yang dah rasa tenangnya hidup dalam menaiki tangga menuju ke syurga.."

"Jadi.."

Si Tulip mengulang lagi. Kanvas putih itu terus berwarna warni.

"Err.. Jadi..?"

Aku tidak dapat menangkap

"Kenapa tak mulakan untuk meniti tangga syurga yang pertama?"

****

Matanya terpejam, kenangan lampau terimbas sejenak.

Dalam senyuman, air mata mengalir. Terlihat jelas di hadapan wajah yang banyak membentuknya. Banyak menyiram air ketabahan, sehingga mekarlah Si Tulip ini dilihat indah.

Dulu-dulu dia pernah bertanya,

"Kenapa sesusah ini hidup?"

"Berapa lama?"

Hati menjerit, lama. Dan rasanya, perit.

Dan orang yang mengajarnya senyum menjawab,

"Kan Nabi Ayyub lebih derita. Kan para nabi, rasanya lebih lama.. "

"Sebab Allah sayang lah tu.."

Berus lukisan itu terus menari. Tercalit warna kuning, kemudian terselit warna hijau. Tanda damai. Ditekan sedikit. Cat minyak itu terkeruping,

Terbentuk satu bentuk,

Cahaya.

****

Katanya Si Tulip, sabar itu ada dua.

Sabar dalam beribadah dan berjuang, dan sabar dalam menongkahi bahtera hidup. Kedua-duanya punya kata yang sama, cantik. Ya, sabar itu cantik.

Kata Si Tulip, sabar itu tiada batas.

Ya, siapa yang meletakkan batas? Sedangkan Allah sendiri membalasnya tanpa batas. Hanya kita yang meletakkan sempadan.

Malah, Dia yang sentiasa menjadi teman.

Otaknya ligat berputar. Baru-baru ini ada serangan di Paris. Sebelumnya Charlie Habbo pernah diserang, dan dibunuh. Ramai rakyat Perancis yang bangun marah dan bangkit.

Dan Islam difitnah. Islamophobia merebak.

Isu di Myanmar. Syria. Palestin

Isu banjir. Isu negara.

Dan aku?

****

Aku menaiki tangga usang itu sekali lagi. Berbunyi kret-kreot bila dinaiki. Si Tulip sudah sedia menyambut tersenyum.

Kadang aku terfikir, adakah wajahnya memang sudah tercipta begitu? Tercipta untuk sejuk mata memandang. Untuk sentiasa senyum tanpa lekang.

Kopi dituang, harum semerbak.

Memang cita rasanya begitu. Vintage. Digoncang-goncang.

"Minumlah.."

Aku meneguk mengangguk.

Kemudian mengerling ke lukisan yang sudah siap.

"Tulip?"

Ada beberapa tangkai.

"Tulip ini dasarnya melangkah. Seperti warnanya yang naik merona. Punya makna pada nilainya yang tersendiri.

Naik di tengah-tengah taman, dan menyegarkan seakan-akan satu jambangan.

Bermula di Parsi seawal abad ke sepuluh, dan kemudian di Turki. Ianya seni dalam budaya. Banyak ditanam ketika Empayar Uthmaniah, dan apabila ia kembang penuh, ia seakan-akan serban orang Turki. Tulip juga pernah disebut oleh Omar Kayam dan ahli sufi terkenal, Celaleddin Rûmi.

Tulip ini lambang cinta sempurna. Cinta di tengah perjuangan yang penuh kesabaran dan ketabahan."

Wajah Si Tulip kelihatan sungguh menghayati.

Kopi diteguk lagi. Kali ini rasanya berlainan, mungkin kerana dicampur dengan adunan rasa. Aku meneguk lagi.

"Tapi kenapa Tulip? Bukankah banyak lagi bunga di sana?"

Tangan lembut itu membelai hasil karyanya, seolah-olah berada di waktu yang berbeza.

"Kerana Tulip adalah bunga pertamaku. Kerana Tulip adalah bunga untukku.."


****


Betapa dulu dia rapuh, dan wajah itu membuatkan dia ampuh. Betapa dulu dia hampir rebah, dan suara itu selalu membuatnya tabah.

Saat-saat hati remuk rendam. Kala titisan hujan itu seperti duka yang bersiram. Waktu hari-hari adalah tangisan.

"Ada berapa tingkatan syurga untuk orang yang berjuang di jalan Allah?"

Soalan itu entah sudah kali ke berapa ditanya. Dia tahu, bukan jawapan yang sebenarnya diintai, tapi pintu harapan di belakangnya.

"Seratus.."

Dia tersenyum.

Kerana syurga itu punya seratus tingkatan bagi orang yang berjuang. Pasti beza satu tingkatan dengan tingkatan yang lainnya. Jika kita ini dicabut nyawa esok, dengan amalan kita, di mana tingkatan syurga kita?

"Berjuang dan bersabar.. Bukankah yang Allah cuba itu, mereka yang Allah cinta?"

Tersenyum lebih lebar.

Betapa dia tumbuh perlahan-lahan. Dari layu kepada segar. Dari lemah kepada bugar.

Suara redup itu selalu berkata mengingatkan, saat kita memikirkan masalah yang lebih besar, masalah umat, maka masalah kita akan terlihat kecil, akan luput ditelan keresahan yang bermanfaat.

"Kamu ini berbeza dengan yang lain, kamu istimewa.."

Sebuah jambangan Tulip dikeluarkan.

"Ini untuk kamu.."

****

Bila terasa berat perjalanan itu menyinsing, di layar jauh tak mungkin bersauh. Sebelum kau jumpa pulau indah untuk berlabuh, kau akan sedar laut itu nyaman untuk kau berteduh..

****

"Terima kasih!!"

Aku menjerit girang. Entah kenapa terasa terlalu menggirangkan. Tulip. Si Tulip. Dan lelaki itu. Ia seakan-akan membuatkan aku ingin berlari sekarang mengejar mimpi.

Kopi dan pisang goreng sudah selesai. Masih berbekas rasanya di mulut.

"Lepas ni nak ke mana?"

Si Tulip bertanya. Wajahnya kelihatan bercahaya di usia itu. Masih anggun. Selayaknya Tulip dan senyumannya. Selayak

"Nak ke mesyuarat Mak Long.. Ada program untuk gelandangan dan pelarian Syria.."

Wajah isteri Pak Long ku itu ditatapi. Aku tak pernah berjumpa dengannya, kerana dia sudah lama pergi. Tapi dia lah lelaki itu. Lelaki yang menjadikan Mak Long inspirasiku.

"Baik-baik, semoga Allah redha.."

Memakai kasut, dan kemudian aku berlari anak melambai. Disambut kembali dengan senyuman Si Tulip.

Yang terus mekar..

Thursday, March 26, 2015

Nota: Tentang Sabar


~ cup of coffee by johnberd of deviantart.com ~


Sempadan Sabar.

"Sabar pun ada sempadannya.."

Adakah benar sabar itu punya sempadan. Jika benar, di manakah sempadannya?

Tak ada.

Siapa kata sabar itu ada batas dan sempadannya? Sebenarnya kta yang meletakkan batas itu, kita yang meletakkan limitasinya.

Maka sempadannya adalah kita.

Belek surah Az-zumar, bacalah ayat kesepuluh darinya.

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala (atas) mereka tanpa batas."

Pahala untuk sabar ini tiada sempadan.

Kerana sabar itu sendiri tiada sempadannya.

Lebih dalam kita merasakannya, pasti lebih dalam pahala yang kita dapat.

Sakit.

Dan pasti, sabar itu ialah satu kesakitan. Kerana sabar itu menahan, memendam dengan sangat susah dan perit.

Kerana apabila kita melepaskan, terburai segala amarah.

Tiadalah namanya sabar jika tiada kesakitan. Kerana pada sabar itu terkumpul segala air mata dan kelelahan, keresahan dan bingung.

Malah semua rasa yang tidak tertanggung.

Walau kadang, ada yang tersenyum. Tapi ianya hiasan yang menutup hati yang sedang remuk.

Kerana di situlah selalunya terpancar cahaya.

Dan sabar itu, semakin ia dalam, maka pasti ganjarannya, terus menerus melimpah..

Tanpa sempadan..

Wednesday, March 11, 2015

Penita: Syair



Tren meluncur laju.

Majdi menggigit hujung straw, Caramel Frappe Dr Café Coffee nya sudah habis. Hanya calitan baki white cream yang comot memenuhi dalam cawan.

Orang tak berapa ramai, cukuplah bagi mewujudkan suasana.

“Syair ni sangat best..”

“Erm?”

Kertas syair Dalam Cinta dan Rindu diambil. Mata melirik. Abi Firasyh Alhamdani, tapi student jurusan Bahasa Arab lebih selesa memanggil sekadar Al Hamdani.

Penyair parsi.

“Dia cerita tentang seorang yang rindu kekasihnya..”

Rangkap ke lima ditunjuk.

“Mu’alliti bil wasli, wal mautu duunahu.
Iza mittu Zhom Aaa Nan fala nazala qatr!!”

“Yang menggembirakan aku hanyalah berjumpa dengan mu,
Dan jika aku kehausan (akibat rindu padamu),
Jangan kau turun wahai hujan! (Biar orang lain juga mati seperti aku)”

Majdi tersengih. Amboih ayat.

Mata seakan cina, dan hidung yang sempurna itu ditatap. Rupanya, ada yang lebih indah dari syair.

“Kenapa?”

“Err, tak ada apa. Kalau rangkap ke enam?”

Majdi kembali ke baitan syair. Cuba menterjemah mengguna kemahiran bahasa arabnya. A kot dulu SPM.

“Badauti wa ahli hadiruun,
Lianni Ara anna daa ran lasti min ahliha qafru”

“Aku pulang dari kampung mu badwi
Sedangkan ahli keluargaku Hadharah,
Kerana aku melihat sesungguhnya kosong rumahmu dari ahlinya tidak berpenghuni..”

“Dia nak kata dia baru pulang dari cari perempuan tu. Dan tak kisah walaupun darjatnya berbeza..”

“Sedap!!”

“Kan?”

Si teman di hadapan tersenyum puas kerana dapat berkongsi.

Alhamdani seorang  panglima perang. Dipenjara sewaktu peperangan dengan Rom. Maka dalam penjara, rasa rindu pada kekasihnya membuak-buak.

Dan ketika itulah syair ini ditulis. Tapi, ada rasa yang membuak walaupun tanpa Rom dan penjara.

Majdi menyandar di kerusi merah tren, menggigit jari telunjuk.

“Ada pen dengan kertas?”

Si teman menghulur, dan disambut. Kening diangkat.

“Nak buat apa?”

“Rahsia”

Majdi mencoretkan sesuatu. Tiga minit, lima minit. Jari terus menari.

“Nah..”

Kertas dipulangkan. Untaian aksara itu bersambung,

“Aku juga pulang dari kampung,
Seperti penyair itu.
Sehingga aku juga digelar penyair..

Kampung cintamu..

Aku pulang dari kampung itu,
Menuju kampung itu.

Tiadalah persinggahanku,
Malainkan hanya kampung itu..

Satu kampung yang kosong,
Redup,
Dan ketawa.

Kerana di sana terbangnya,
Senyum matamu..

Rebahnya resah lesuku,

Dan aku selalu hangat baring,
Dalam dakapanmu..”

Si teman berhati sutera itu tersenyum dan ketawa. Dan secara hakikinya alam menyaksikan mata yang tersenyum terbang.

Majdi menyambung,

“Awak belajar syair.. Tapi saya adalah penyair..”

Dan mata terus terbang dengan lukisan wajah yang semakin memegunkan.

Monday, April 14, 2014

Cerpen: Impian.


Hadi (kiri) bersama Majdi. 

 **** 

"Tum!Tum!Tum!"

Peluru bertaburan memecahkan dinding tembok, serentak, Majdi berpusing membelakangi benteng batu itu. Peluru itu sangat hampir mengenai telinganya.

Beberapa mujahidin kemudian berbalas tembakan. Mereka cuma tinggal empat orang.

Majdi tercungap-cungap. Nafasnya turun naik, cuba diatur sedingin angin malam di kota Syam itu. Senjata AK47 nya dirapatkan ke dada. Bangunan kosong itu sungguh sulit untuk pertempuran. Matanya dipejamkan.

"Nama ana Hafis Firdaus.."

Senyuman sahabat sesaffnya pada ketika pertama kali taaruf bertamu. Dia tak pernah menyangka, sahabat-sahabat yang pernah bersama dalam program tarbiyyah suatu ketika dahulu kini semuanya berada di medan jihad yang sebenar.

Selepas dipanggil dengan seruan besar-besaran seluruh umat Islam untuk berjihad di Syria sebagai 'Perang yang Besar'

"Oh, kita satu usrah.."

Bayangan itu masih menerpa, dan akhirnya bertukar dengan peristiwa kesyahidan sahabatnya itu di hadapan matanya petang tadi. Ditembak oleh si laknat zionis. Beberapa bayangan wajah sahabat lain yang syahid turut silih berganti.

Matanya dibuka, diringi dengan manik jernih yang mengalir.

Majdi tersenyum. Apalah sangat, perselisihan kecil di kampus dahulu, apalah sangat, terasa hati sesama sahabat dahulu. Bukankah kita ada matlamat yang lebih besar?

Syahid, dan syurga.

Seketika tembakan berbalas lagi. Kedengaran erangan dari mujahidin.

"Kita mesti melepasi laluan ke bukit Golan sebelum waktu subuh.."

General Hadi Syafiq di tembok sebelah mengingatkan. Kemudian mulutnya kembali berzikir. Hanya beberapa waktu untuk masuk Subuh.

"Musuh hanya tinggal tiga orang.."

Majdi tersenyum.

"Ko ingat lagi waktu kita menasyidkan syahid cita-cita tertinggi kami sewaktu di tamrin dahulu? Inilah waktu untuk kita buktikan.."

Hadi memberi taujihad. Majdi hanya tersengih.

"Aku buka laluan, dan kita serang. Dua musuh bersembunyi di tembok kanan, dan satu tembok kiri.."

"Bismillah.."

Serentak, Majdi berlari keluar mengarah ke pihak musuh, dan General Hadi melepaskan tembakan bertalu-talu.

Kepala pihak musuh dilihat. Majdi pantas mengacu senjata.

"Tum!"

Sorang tumbang. Tembakan kemudian disambut. Majdi mengelak pantas.

"Tum!Tum!"

Kaki dan kemudian kepala. Sudah dua tumbang.

Majdi berpaling,

"Mana satu lagi musuh, mana?"

Hatinya berguma cemas, dirinya kini terdedah kepada pihak musuh.

Dan saat dia berpaling, terlihat susuk tubuh musuh di hadapannya yang sedia mengacu senjata. Bayangan malaikat maut sudah sedia di depan mata.

"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan Melainkan Allah.."

"Tum!Tum!"

Darah terasa disimbah. Tapi kenapa tiada sakit?

"Hadii!!"

Hadi membentengkan dirinya. Majdi pantas menembak kembali, tepat di kepala musuh. Dan kemudian terus memangku kepala sahabatnya.

"Aku rindu syurga Majdi.."

"Kau makin hampir.."

Majdi mengalirkan air mata.

"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.."

Dan ketika itu jugalah sayup-sayup azan subuh kedengaran..

****

Azan subuh sayup-sayup masuk ke telinga. Mendayu menusuk kalbu.

"Majdi, bangun. Dah subuh ni.. Jom, sempat solat sunat qabliah.."

Majdi menggosokkan mata.

"Oh, aku di katibah usrah.."

Sejenak, dia melihat seorang sahabat yang menggeraknya, Hadi Syafiq.

"Hadi, aku cinta hg kerana Allah.."

"Ko dah apahal tiba-tiba? Mengigau ke?"

Majdi hanya ketawa.

"A ah, mengigau.."

Dia diam, dan jauh di sudut hati, sungguh, dia mengharapkan akhir ukhuwwah ini,

Adalah syurga..
****

Thursday, November 7, 2013

Puisi: Rehat



****

Ada waktu kita perlu berehat,
Dari menanam hijaunya pohon,
Untuk seketika,
Menikmati redupnya rimbun.

Kadangkala kita perlu berhenti,
Dari membina untaian kata,
Dan menghayati,
Indahnya diam sebuah rasa.

Waktu untuk mengulir waktu,
Masa untuk memberi masa.

Sehingga ia terbina,
Sebuah cinta,
Yang benar,
Dan mekar..

Sunday, May 13, 2012

Cerpen: Hidup


~http://darkdex52.deviantart.com/art/The-Disease-of-Dancing-Flowers-128356502?q=boost%3Apopular%20flowers&qo=68 ~

 ****


Hari ini adalah hari-hari cinta. Hari nan cinta. Bak hujan yang selalu turun perlahan-perlahan di bumi Uia ini, renyai-renyai membawa cerita kebanyakan penghuninya yang mempunyai ceritera tersendiri.

Kisah yang kadang-kadang merapuhkan hati untuk terus mendengarnya.

Seperti kebanyakan manusia yang mempunyai lakaran novel masing-masing. Cuma tak semua yang tahu pada siapa ia mahu diceritakan.

"Hello? Anybody home?"

Tangannya digoyang-goyangkan di hadapan mata Qistina.

Qistina mengangkat kepala, lamunannya terhenti. Otaknya cuba memproses wajah di hadapannya. Loading..

3 saat.

Loading complete.

"Oh, Sal.."

Salwa ketawa.

"Berangan anak raja mana weh?"

Qistina tersengih menggeleng. Cis!

Salwa mengambil tempat duduk di hadapan Qistina. Di kerusi bulat yang berwarna oren itu. Bertemankan riuh rendah cafe Hs yang jarang sunyi.

"Qis, apa muka macam kucing tak makan seminggu je ni?"

"Tak ada apa, tak cukup Friskies je.."

Qistina melayan. Salwa tersenyum.

"Serius. Anything Qis?"

Salwa memegang tangan Qistina. Qistina mengukir senyum hambar.

"Aku rasa nak ambik study leave.."

****

"Zush!!"

Qistina menolak semua yang ada di atas meja dengan tangannya.

Kertas bertaburan di lantai. Segala peralatan tulis bertaburan menambahkan corak serakan yang semakin menyemakkan.

Nafasnya turun naik berulang kali.

Tangannya gementar. Dia berasa takut dengan dirinya sendiri. Ini kali pertama dia bersikap begitu. Melepaskan segala tekanan yang mendesak akal dan jiwa dengan melampiaskannya pada benda di sekeliling.

Sebentar, dia terduduk di atas katil.

Menangis teresak-esak yang kemudiannya menjadi tangisan yang menggambarkan maksud jiwa.

"Kenapa orang tak faham??"

"Do u really want to study here?"

Suara lecturernya terngiang-ngiang. Gulungan tugasan yang dihempas lecturernya di meja masih terbayang-bayang. Tangannya bergetar.

"Kita break, Ok? I rasa kita tak serasi.."

Wajah bekas cinta jiwa raganya pula bersilih. Qis mengaut syiling yang bertaburan, menggenggamnya erat-erat. Duit hasil penat lelahnya untuk menyara keluarga. Wang yang telah mencuri masa dan tenaganya setelah sekian lama. Malah hidupnya.

Kenapa semua tak faham. Hatta mak.

Exam final semakin menghampiri. Jiwanya tertekan. Himpitan itu dirasakan sungguh berat.

Syiling-syiling itu dilepaskan bertaburan.

Jatuh mengalir bersama air matanya yang gugur berderai..

****

Waktu yang mengalir laju, selalu kita terlepas nikmatnya. Sehingga nanti, saat kita tersedar, banyak perkara yang belum kita laksanakan. Dan sehingga umur ini, masih terlalu banyak yang perlu dipelajari.

Sedangkan saat terus berdetik, dan akhirat semakin menghampiri.

Duit di tangan dikira. Rm2.30. Qistina mengira-ngira.

Nasi putih Asma + kuah sikit + telur mata kerbau cair di tengah + air kosong.

"Jadi la kot..."

Lama juga dia tak makan. Bukan kerana diet atau lapar, tapi masalah yang menemani selalu membuatnya hilang selera makan.

Tapi lama-lama lapar juga.

Sayur diceduk. Telur ditekan perlahan di bahagian tengahnya, kemudian beraneka kuah di warnakan di atas nasi.

"Berapa kak?"

"Rm 3.00"

Erk. Qistina telan liur. Aku ingat kat Uia ni Cafe Farouq je yang mahal.

"Apa mahal sangat kak?"

"Betul lah.. Nasi seringgit, telur 80 sen. Sayur 60 sen. Air kosong lagi.."

Akak tu mencebik. Malas nak layan agaknya.

"Err, kalau macam tu saya letak balik la sayur ni.."

Sesorang tiba-tiba hampir perlahan meletakkan pinggan dan airnya.

"Saya bayar semua kak, berapa ya?"

Wang rm10 dihulur sebelah. Bertudung labuh kemas menutup dada. Wajahnya hanya tersenyum manis.

"Err.."

"Takpe sis, saya belanja.."

Dia menarik senyum lebih manis.

"Tq.."

Sepatah yang keluar. Tak tahu lagi apa yang dapat dikatakan. Kemudian terus laju mengambil pinggan dan airnya mencari tempat duduk kosong.

Qistina duduk.

Dari jauh, kelihatan sister tadi berjalan menghampirinya.

"Sorang?"

Qistina angguk.

"Boleh saya duduk sini?"

Angguk lagi.

"Amira.."

Sister tu memperkenalkan diri.

"Qistina.. Panggil Qis.."

"Wah, sedapnya nama.."

Qistina tersenyum. Dia mula rasa selesa. Rasa senang dengan cara pergaulan Amira yang mesra. Sebelum ni geng-geng ni dia anggap geng Malaikat je. Yang selalu pandang orang dengan sebelah mata.

"Thanx tadi.."

"Takpe, saya anggap hadiah hari Jumaat."

Amira meletakkan plannernya di sebelah. Gaya macam baru habis meeting. Qis menjeling. Ada logo yang dia kenal.

"Maaruf Club?"

"Erm, Qis join juga ya? Biro mana?"

Geleng.

"Orang cakap budak baik-baik je boleh join.."

Amira ketawa.

"Semua budak Uia kan baik?"

Amira tersenyum.

"Tak nak hipokrit..."

Pendek Qis membalas.

"Pakai tudung labuh bukan semestinya baik.."

Dia menyambung ringkas.

"Setuju.."

Amira mengangguk sambil tersenyum. Aik, setuju pula dia.

"Bukan hipokrit, tapi proses. Kan selangkah kita pada Allah, seribu langkah Allah pada kita?"

Jus orennya diminum. Wap air itu menyejuk, berubah menjadi titisan air yang mengalir, dan terus membuatkan jus buah itu nampak amat segar dan menyelerakan.

"Apa yang best?"

Qistina membuka ruang. Amira menghulur sekeping kertas yang terselit di dalam plannernya.

"Team sister.."

Qistina memegang flyer di tangannya,

"Sweet.."

****

"Bila nak balik Qis?"

Suara di hujung talian kedengaran.

Qistina diam.

"Qis sibuk mak..."

Suaranya kedengaran ditekan, walau cuba dikawal. Mak tak pernah faham. Semua ni dibuat hanya untuk keluarga, dan keperluan dirinya.

Wangnya tak pernah cukup. Hidup di universiti bukan mudah, namun ibunya sukar memahami.

"Sibuk apa sampai tak boleh balik rumah?"

"Mak tak pernah faham Qis!"

Talian diputuskan.


****

Kosong.

Itu sebenarnya yang mencengkam dirinya.

Jiwa terasa amat kosong. Terasa sunyi walau ramai manusia di sekeliling.  Mungkin ini yang dimaksudkan dan dirasakan Najwa Latif dalam lagunya 'Kosong' kot.

Tapi bukan Najwa kata dia tak sakit ke? Tapi aku sakit. Entahlah..

Bulan malam ni terang. Cerah di sebalik kubah Masjid Uia yang biru. Cantik.

"Kadang-kadang hidup ni letih kan? Rasa macam setiap penjuru dihimpit dan tiada ruang.."

Berjalan bersama Amira. Baru pulang dari ceramah Ustaz Don Daniyal anjuran Maaruf Club.

"Letih, kalau hati kita, kita biar kosong. Letih, jika kita relakan diri kita disibukkan dengan dunia dan ujian hidup yang tak pernah jemu nak hadir tanpa bagi sedikit ruang kepada Allah di hati kita. Best kan tazkirah Ustaz Don tadi?"

Qistina tersenyum mengangguk.

Lembut seperti bayu cara Ustaz Don menyampaikan tadi.

Memang rasa tenang bila ke kuliyah-kuliyah agama ni. Tapi bukan selalu dapat ke kuliyah ni. Kuliyah agama ni, ibarat waktu kita muhasabah diri dan ingatkan apa yang kita selalu lupa. Tapi..

"Apa beza dengan usrah? Bukan cukup ke kalau kita pergi dengar tazkirah dan kuliyah?"

Berjalan menyusuri jambatan melalui Azman Hashim Complex.

"Yup. Cukup je. Kan semuanya untuk kebaikan?  Cumanya, dalam usrah, kita duduk bersama-sama member kita yang sama-sama berusaha ke arah kebaikan yang kita dapat tu. Terap dan kongsikan tazkirah dan pengalaman yang kita alami. Sama-sama proses diri jadi lebih baik. Azam untuk sama-sama mengingatkan.."

"Agar hati kita tak kosong selalu.."

Benar. Bukankah sahabat yang baik itu mengajak ke arah syurga dan bersama menjauhi neraka?

"Amira..."

"Erm..?"

Kening double jerk ala Hlovate diangkat.

"Qis nak join usrah Sweet Maaruf Club boleh?"

Amira tersenyum.

"With pleasure, my queen.."

Dan langit malam itu terasa sungguh indah..

****

Barang siapa bertaqwa kepada Allah, Allah akan berikannya jalan keluar. Memberinya rezeki dari jalan yang tak pernah disangka.

Dan Allah akan permudahkan urusannya.

Terasa manik halus mengalir saat menghayati mafhum ayat-ayat Quran ini dan berkongsi dengannya dalam usrah. Kan segalanya dari Allah, kan Allah yang menentukan semua? Lalu berapa ramai dari kita mengharungi hidup ini tanpa Allah di hati?

Qistina memerhati tangga-tangga yang tersusun di hadapannya. Tangga kayu lama yang menyimpan banyak kenangan bagi dirinya.

"Assalamu'alaikum.."

Hubungan dengan Allah, dan hubungan dengan manusia. Itu kunci untuk bahagia.

"Wa'alaikumussalam.."

Qistina tersenyum manis. Senyuman yang paling manis yang di pernah diberikan. Berjalan dan terus memeluk wanita tua itu..

"Qis sayang mak.. "

Dan hubungan dengan manusia itu, yang lebih penting lagi bila manusia itu ialah..

Ibu kita..

****

"Celupan Allah, maka siapakah yang lebih baik celupannya dari Allah?"-Al-Baqarah 138

*Cerpen ini ditulis khusus untuk Maruf Club IIUM dan disiarkan di webnya :)

Thursday, January 19, 2012

Cerita: Kembali

~ http://missayleen.deviantart.com/art/Romantic-Morning-149572516?q=boost%3Apopular+morning&qo=71 ~

Sebuah pagi.
Sebuah cerita,
Bersama secangkir senyuman yang memberi bahagia.

Dingin pagi ini terasa begitu sejuk,
Lalu ku selimutkan dengan kebaikan yang kau tunjuk.
Seperti selalu,
Dan pabila ku terkenang sendiri,
Kau ibarat malaikat yang turun ke hati..

****

“Adik duk belakang, biar abang jadi imam..”

Farah terangguk-angguk mengikut. Kain telekung kecilnya itu labuh sampai ke bawah. Baru umur 3 tahun, nampak comel sangat berpakaian begitu.

“Ikut macam abang buat tau..”

Pelat . Si adik terangguk-angguk lagi.

Si ayah dan ibu tersenyum ketawa, senang melihat anak-anak mereka. Si abang pula baru berumur 4 tahun. Memakai kopiah putih yang senget dan baju melayu hijau cair.

“Allahuakbar!”

Farhan mengangkat takbir dalam pelatnya. Farah hanya mengikut laju.

“Allahuakbar!”

Farhan bertakbir lagi, angkat tangan macam nak rukuk, tapi terus sujud. Farah hanya mengikut dengan mata terkebil-kebil.
Si ayah dan ibu yang melihat ketawa.

****

Meniarap di atas katil.

“Besar nanti abang nak jadi macam Khalid Al-Walid!”

“Farah nak jadi macam Sayyidina Khadijah!”

Kedua-duanya sedang membaca buku wirawan dan serikandi Islam.

“Khalid, Khadijah, cepat masuk tidur! Esok nak pergi sekolah pula..”

Ummi menutup lampu.

“Ala Ummi!!…”

Rindu ingin berjumpa,
Sungguh benar terasa..

Tangan mencoret perlahan. Kenangan terasa bergambar di minda. Sepuluh dan lima belas tahun lalu, terasa begitu dekat.

“Hah, rindu siapa?!”

Bahu disergah dari belakang. Ni mesti Aisyah, jenis suka bagi orang sakit jantung mati cepat. Kerja nak sergah je.

Rindu abang sayang..

Kertas terus diconteng.

Bulat mata Aisyah mendengar.

“Sejak bila enti pandai bersayang-sayang ni?”

Haha. Padan muka.

Farah menggayut senyum.

“Ni abang ana la..”

Sejak dari kecil, abang lah yang paling rapat. Bergaduh, makan, sembahyang, jalan pergi sekolah sama-sama.

Abang orang yang paling suka suruh rapat dengan Allah selepas abah. Selalu pesan suruh jadi wanita solehah macam ummi. Yang selalu mengomel berleter panjang kalau terlambat sembahyang.

Yang selalu tolong betul tudung bila terherot dan nampak rambut. Dari darjah satu, sampai la waktu nak fly.

-1996-

“Baguslah adik abang dapat belajar jauh-jauh.. Nanti balik boleh bagi cahaya pada kami..”

Waktu tu wajah abang nampak tenang, selayaknya raut lelaki soleh. Dengan kopiah putih yang selalu dipakai, dan baju melayu yang sudah pun berusia 3 tahun.

“Abang..”

Air mata dah mengalir.

“Dah, jangan menangis. Nanti di sana, cari ilmu banyak-banyak.. Jadi wanita solehah.. Barulah boleh jadi Sayyidatina Khadijah..”

Farhan mengucup dahi adiknya.

“Jangan lupa balas surat adik tau nanti..”

Farhan tersenyum.

“Mestilah abang tak akan lupa..”

Wajah Farah kembali berbunga ceria.

Surat berbalas. Setiap tahun pasti ada kata-kata nasihat dari abang. Abang pernah kata juga nak sambung belajar ke luar Negara juga jika dapat. Tapi surat terhenti, balasan kini sudah tiada.

Tanya ummi abi, ummi cuma cakap abang kerja.

Rindu dengan abang semakin mendalam. Dalam sangat.

****

“Adik dah solat?”

“Belum”

“Jom lah solat sekali.. nanti baru Allah sayang..”

****

Gadis bertudung labuh itu berjalan laju keluar dari tempat bagasi.

Kelihatan seorang lelaki dan seorang wanita sedang menunggu bersama. Kelihatan bebrapa kedutan di dahi.

Ya Allah..

“Ummi! Abi!”

Farah memeluk erat ibu dan ayahnya. Air mata tak dapat ditahan. 7 tahun tinggal jauh di perantauan tidak bertemu benar-benar menggamit rindu. Air matanya mengalir lebih laju. Terlalu gembira.

Farah teringat sesuatu.

Dia menoleh-noleh ke kiri dan kanan. Menjenguk ke belakang.

“Ummi, abang mana?”

Farah masih menjenguk, tak sabar berjumpa abangnya. Pasti abang dah jadi lagi alim dari sebelum ni.

Puan Fauziah memandang encik Kamal. Ada perubahan pada wajahnya. Meminta suaminya menjawab, seakan tiada jawapan yang mampu diberikan.

“Abang ada di rumah.. Ada kerja sikit..“

“Oh..”

Wajah Farah sedikit mendung. Sampai hati abang tak sambut. Dah la lama tak jumpa.

“Adik dah makan?”

Ummi bertanya. Encik Kamal membantu mengangkat barang Farah.

Farah menggeleng.

“Jom kita makan..”

Farah angguk, wajahnya kembali berseri.

****

Sepanjang perjalanan, Ummi dan Abi asyik bertanya tentang keadaan di sana. Dan farah pula semangat bercerita. Perjalanan ilmu yang panjang di bumi anbiyak.

Farah duduk di sofa, menanti abangnya pulang.

Wajahnya berseri tersenyum.

Dalam hati, ada hadiah kejutan yang disediakan untuk abangnya. Dia melihat-lihat ruang di rumah. Tak banyak yang berubah.

Bilik belakang tempat selalu solat dan mengaji quran dengan abang. Rak yang sama tempat kumpul buku srikandi dan wirawan Islam. Dan bakul mainan yang masih ada. Rindunya main perang-perang dengan abang dulu.

“Prangg!!”

Terdengar bunyi botol pecah.

“Sial!!”

Farah kalut mengintai dari celah tingkap. Kelihatan seorang berjambang serabai tidak terurus dan berseluar pendek. Wajahnya dari tepi nampak serabut. Berjalan terhuyung hayang seakan mabuk. Bau arak terasa menusuk hidung.

Mengangkat tangan kepada rakan yang menghantarnya. Kemudian berpaling..

Waktu seakan terhenti. Denyut nadi terasa tidak mahu terus berjalan. Cuma air mata Farah yang kini mengalir perlahan..

“Abang…”

Air mata mengalir lebih deras.

****

8 tahun dahulu:

"Maafkan ana, tapi 2 tahun terlalu lama.."

Farhan duduk termenung. Termangu memandang langit biru yang terlentang luas. Redupan awan dan kicauan riang burung tak mampu mendamaikan hatinya yang hiba. Nafas rasa sesak mengulir di dada. Sungguh, perasaan itu amat menyakitkan.

"Semoga enta jumpa yang lebih baik dari ana.. InsyaAllah.."

Jiwanya ibarat alam mendung yang menanti hujan.

Peristiwa semalam bergolak di fikiran, berombak, dan menghasilkan keluhan yang berat di nafas. Tunangnya, Munirah Syahirah meminta sesuatu yang amat mengejutkan. Putus tunang. Keluarga Munirah mahu dipercepatkan perkahwinan.

Dia hanya meminta 2 tahun. Kerana itu waktu yang dia mampu. Dan bagi keluarga Munirah, 2 tahun itu suatu angka yang terlalu lama.

Kepalanya terasa serabut.

Seakan terdengar bisikan tarbiyyah suara teman baiknya, Hilman.

"Walau cinta itu ada. Tapi ia tak selalunya berakhir dengan bersama. InsyaAllah, hikmahnya pasti lebih bermakna.. Percaya, cinta Allah sentiasa bersama.."

Dia beristighfar.

Mesir.

Ya, tempat yang akan dia membawa diri. Membawa hati bersama seluruh perasaan yang ada. Mencari hikmah yang diingatkan temannya. Dan hari ini adalah keputusan permohonannya, sama ada impiannya sejak sekian lama akan tercapai, dan lakaran cita-citanya dapat diwarnakan.

Pin!! Pin!!

Bunyi hon kedengaran. Kelihatan seorang posmen mengangkat surat. Dia gegas berlari.

"Terima kasih bang.."

Surat diambil, tangan terasa sedikit menggigil. Surat dari pihak tajaan. Posmen tadi menganggukkan kepala seraya beredar.

Dia sudah begitu lama menanti untuk hadir ke bumi anbiyak itu.

Sebahagian semalam yang gelap, semoga sebahagian hari ini yang cerah pula.

Dia merenung sampul di tangan. Mengoyak perlahan. Hati terasa berdebar. Makin kuat. Dia membaca setiap patah perkataan satu persatu. Sehingga..

"Pihak kami meminta maaf, permohonan anda untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara ditolak..'

"Arghhh!!!!"

Himpitan kecewa itu terasa terlalu membebankan. Bertimpa dari kekecewaan yang bersambungan. Iman terasa kelam.

Di luar langit semakin gelap menuju senja.

Keesokannya:

Hilman- itu satu-satunya teman baik yang dia ada. Yang paling Farhan sayang. Senyumannya yang selalu menenangkan. Kata-katanya yang sentiasa menyenangkan.

Setiap masalah, Hilman yang selalu menguatkan.

Dan untuk dirinya yang kini bergoncang kuat dengan ujian taqdir dan keimanan, dia amat perlukan temannya sekarang. Hati yang galau dan remuk ini perlu segera diubat.

Di waktu-waktu begini, syaitan akan kuat membisik: Allah tidak adil! Kenapa mesti aku?!

Sulaman iman yang sebelum ini dianyam kemas cuba dirungkaikan syaitan dengan bisikan ujian.

9.00 malam. Farhan melihat jam di tangan. Tak sabar meluahkan segala yang terpendam. Dia bergegas menuju ke restoran yang dijanjikan.

"Farhan.."

Farhan berkalih. Wajah jernih sahabatnya terukir senyuman. Dia terus berlari mendapatkan Hilman.

PINN!!!

Hon kereta kuat kedengaran. Disusuli dengan bunyi brek yang kuat. Dirinya terasa kuat ditolak.

TUMM!!!

Di depan matanya Hilman terkulai. Darah membasahi jalan.

"HilmaaNNNN!!!

Farhan memangku sahabatnya. Sakaratul maut sudah terbayang di hadapan.

"Arghhh!!!! Kenapa ya Allah??!! Kenapa??!!!!

****

Haisyumm!!

Farhan mengesat hingus adiknya. Farah memeluk tubuh dalam baju sejuk

"Tau tak kenapa Allah bagi adik demam?"

Menggeleng. Bersin lagi.

"Sebab Allah sayang adik dan nak bagi adik ingat Allah selalu.."

Farah tersengih suka dalam lelehan hingusnya.

****


"Come on baby!! Kita dah lambat!"

Dentuman muzik bergema kuat. Lagu In Da Club oleh 50 cent merancakkan gaya mereka yang di dalam kereta.

Seorang lelaki berambut perang di tempat memandu yang sedang menghisap rokok, dan 2 orang wanita berpakai seksi di belakang. Seorang lagi wanita pula yang berskirt pendek dan bermake-up tebal pula berdiri menunggu di tepi kereta.

"And you should love it, way more then you hate it. ***** you mad? I thought that you'd be happy I made it!"

Kepala dianggukkan mengikut rentak lagu.

Farhan menyarungkan seliparnya. Melangkah menuju kereta.

"Abang..."

Farah berdiri di pintu. Tangisannya mula mengalir. Keadaan itu terlalu menyebakkan. Melihat mereka yang di dalam kereta menyebabkan air matanya mengalir lebih laju.

Langkah Farhan terhenti.

Berpaling, melangkah dan berhenti benar-benar di hadapan adiknya.

"Jangan pergi abang.."

Tangisannya lebih teresak.

Farhan melihat lama wajah adiknya lama. Mengangkat tangan dan meletakkan jarinya di pipi Farah. Air mata Farah dikesat.

"Maafkan abang.."

Kemudian dia berpaling, dan terus melangkah menuju ke kereta..

****

'Umar al-Khattab menuju ke rumah adiknya dalam keadaan meradang dan murka. Mendengar adik dan iparnya memeluk agama Islam menyebabkan daranhnya mendidih.

"Wahai Fatimah, buka pintu rumahmu atau akan aku pecahkan!!"

Mendengar suara abangnya, Fatimah dan suaminya Said segera menyuruh Khabbab yang hadir mengajar kalam Tuhan untuk segera menyembunyikan diri.

Cemas.

Fatimah segera membungkus lembaran Al-Quran yang diajar Khabbab. Bunyi ketukan semakin kuat dan ancaman semakin deras. Said akhirnya membuka pintu.

"Suara siapa yang aku dengar sebentar tadi??"

"Tak ada siapa melainkan perbualan biasa antara kami.."

Umar berkata,

"Boleh jadi kamu berdua juga telah keluar dari agama.."

Said membalas,

"Apa pandangan kamu sekiranya kebenaran itu bukan pada agamamu?"

Mendengar itu, 'Umar tanpa berlengah menerkam ke arah iparnya dan melanyakkannya dengan kaki sehabis tenaganya.

Melihat suaminya dipukul, Fatimah segera membantu.

"Pang!!"

'Umar menampar Fatimah sekuat hayunan tangannya.

Wajah Fatimah mengalir berdarah.

"'Umar! Kalau kebenaran itu bukan pada agamamu, mengakulah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan mengakulah bahawa Muhammad itu pesuruh Allah!"

Melihat wajah si adik yang berdarah, 'Umar berhenti. Rasa menyesal hadir.

"Berikan kitab yang bersama kamu itu untuk aku menatapnya.."

Fatimah berkata,

"Dirimu kotor, ayatnya bersih dan tidak boleh disentuh kecuali orang yang bersih. Sucikanlah dirimu.."

'Umar bersuci kemudian mengambil kitab dari Fatimah lantas membaca.

"Tahaa.."

Sehinggalah kepada ayat,

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."

Pintu hidayah diketuk.

'Umar berkata,

"Betapa eloknya kata-kata ini dan betapa mulianya, ayuh tunjukkan aku di mana Muhammad berada sekarang ini.."

Dan kini cahaya iman di Mekah semakin menyinar..

****

Langkah Farhan terhenti.

Ayunan kaki menuju ke biliknya terkaku di situ. Sudah terlalu lama suara merdu itu tidak didengar dialunkan begitu. Sudah terlalu asing dirinya mendengar gemersik indah ini.

Dia berjalan mendekat ke pintu.

Melihat adiknya sedang bersimpuh di atas sejadah. Dia cuba memekakan telinga. Memahami sesuatu yang telah amat lama ditinggalkan.

Jantungnya terasa berdebar.

"Tha Haa."

"Tidaklah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan."

"Melainkan hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah."

("Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi."

"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy."

"Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi."

"Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi."

Farah teresak. Bacaannya terhenti. Merayu dalam tangisan.

Meneruskan bacaan. Farhan terus mendengar sehingga tiba ayat,

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."

Berderau jantungnya. Air mata bergenang, mengalir perlahan. Menyusuri pipi yang sudah lama tidak dibasahi tangisan rindu kepada Tuhan.

Farhan membuka pintu. Memandang Farah dengan mata yang basah.

"Adik, bantu abang kembali ke jalan Allah.."

****

"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras.."

"Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya.."

"Ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya.."

"Dan Allah tiadalah lengah terhadap apa yg kamu kerjakan.."

Al-baqarah 74

****

Epilog:

Berlari bersama abang. Si kecil itu mengendong beg sekolah.

"Abang, tunggulah!"

Farah tersepak batu. Terjatuh. Sakit terasa. Beg tersembam ke tepi. Raut wajah si comel itu berubah. Ingin menangis.

Tangan dihulur.

"Abang.."

Si abang tersenyum.

"Nanti, bila abang pula yang terjatuh, Farah angkat dan selamatkan abang ya?"

Farah mengangguk. Wajahnya manis.

"Nanti bila abang jatuh, adik mesti akan selamatkan abang.."

Farhan tersenyum..

❀ܓ

*Kisah Sayyidina 'Umar diambil dari kitab Raheeq Makhtum dan Buku Abdul Latip Talib

Saturday, July 30, 2011

Cerita gerbang Ramadhan: Zulfah 2


****

Zulfah menoleh-nolehkan kepala. Beg pinky-funky Tropicana Life nya digenggam erat.

"Err.. Betul ke aku ni?"

Zulfah serba tak keruan. Dia gigit bibir yang tak sakit.

"Kalau abang nampak aku ni, mau kena gelak sakan.."

Darul Quran petang itu tenang. Sama seperti hari-hari sebelumnya. Angin bukit yang bertiup merentasi tasik bagai penghawa dingin bagi pelajar-pelajar di sini.

Pelajar-pelajar perempuan yang baru mendaftar, kelihatan di sana sini. Semuanya bertudung labuh dan berjubah. Comittee pun sama.

Serius, memang nampak macam malaikat.

Semua nampak sopan-sopan, baik. Aku pula, jubah dan tudung labuh + kasut converse hitam tali merah + Beg merah jambu gila punya shining. Button pula bertampal sana sini. Gila betul!

Bahu terasa disentuh lembut.

"Assalamu'alaikum, asif jiddan. Apa khabar ukhti? Banat baru di sini ya?"

Minah arab mana pula yang sapa aku ni?

Zulfah berpaling. Kelihatan seorang perempuan yang berwajah manis tersenyum. Kakak rasanya.

"Wa'alaikumussalam. Err.. Maaf, nama saya bukan asif.."

Tergagap-gagap Zulfah menjawab.

Kakak tadi tersengih sendiri mendengar jawapan Zulfah, tersedar tersilap menggunakan perkataan. Asif Jiddan tu lebih kurang 'maafkan saya' la lebih kurang dalam bahasa arab. Dia menghulurkan tangan.

"Nama akak Nazirah.."

****

"Kak Jie.."

Zulfah menanggalkan headphone di kepala. Sonic Gear hitam yang masih berdentum Love Me dari Justin Bieber disangkutkan di leher.

"Yup?"

Quran biru kecil comel terjemahan keluaran Nurul Iman itu ditutup perlahan, sebelum dijunjung dan dikucup. Baru selesai menyudahkan ulangan hafalan Surah Ar-Rahman.

"Kenapa Fa?"

Kak Jie angkat kening.

"Err..."

"Agak-agak, boleh ke Fa jadi baik? Hafal Quran perabih macam akak?"

Kak Jie senyum.

"Fa rasa, macam mana? Boleh ke?"

Aik, tanya aku balik?

"Entah.."

Zulfah jongket bahu. Boleh ke aku ni? Macam jauh je nak kena pecut kalau betul-betul nak jadi baik macam tu. Ni nak berjalan pun rasa mengah.

"Kenapa Fa masuk sini?"

Kak Jie seakan menguji.

"Akak sebab apa?"

Ha, kan aku dah tanya balik. Tak kan nak nak cakap mama suruh masuk kot, segan lah kan..

Kak Jie senyum sendiri. Otak fikirannnya berputar ke belakang. Masing-masing mesti ada reason bila buat sesuatu kan? Dan dia pun macam tu.

"Sebab Facebook.." Selamba.

"Erk?"

Agak-agak ar.

Kak Jie ketawa.

"Tak adalah.. "

Kak Jie menyandarkan badan di dinding. Baru sedap nak cerita.

"Pernah sekali dulu, waktu tu akak rasa lost dalam hidup. Rasa jauh dengan Tuhan.. Bila tengok member-member akak yang baik, akak terfikir, bila la aku nak jadi macam diorang? Dan fikir-fikir, kalau la aku mati esok, ada harapan tak nak tau syurga tu macam mana.."

Kak Jie diam kejap.

"Sampailah akak baca status kawan akak.. Dia post status pasal satu hadis nabi.."

Pergh, dapat kesedaran sebab orang post kat Fb je. Tak terfikir lak. Selama ni aku guna Fb ni untuk buat diari bergerak je. Macam "Adei, boringnya hari ni.." "Weh, korang nak keluar tak?.." "Yea! Hari ni dapat makan Dunkin Donat!" atau pun "Berat aku tambah 3 kg lagi.. Diet lagi la aku nampaknya.."

Haha.

Tak terfikir pula Fb tu boleh bawa kebaikan kalau pandai guna.

"Hadis tentang apa Kak Jie?.."

"You can't turn to Allah, or gain His love, with anything superior, than reading the Quran."

Simple Dimple.

"Waktu tu baru akak dapat jawapan. Nak cari life akak yang rasa lost tak tau kat mana tu, rupanya Nabi kita dah bagitau siap-siap. Nak kembali pada Allah ke, atau nak dapat cintaNya, tak ada yang lebih hebat melainkan Al-Quran.."

Betul jugak.

Cat Steven boleh transform jadi Yusuf Islam pun sebab quran. Abang dia bagi. Ruben si photographer tu pun sama, cerita dalam video yang ada background Open Your Eyes Maher Zain, yang dia dapat hidayah pun time tengah kaji quran.

"Baca Quran selalu, insyaAllah Allah jaga kita.."

Kak Jie tersenyum.

Zulfah hanya mengangguk diam.

Lagu di Mp3 yang belum tertutup bertukar ke 'If i Let You Go'. Lagu lama Westlife. Di luar kedengaran bunyi riuh rendah banat main bola jaring.

"Tapi tengok Fa. Baju tak sama pun macam banat lain kalau bukan time kelas. Orang pun pandang pelik je.."

Kak Jie tesenyum.

"Tutup aurat tak?"

"Err.. Tutup.."

"Berdosa tak?"

"Erm, tak rasanya.."

"So?"

Kak Jie angkat kening. Zulfah hilang kata. Tapi Kak Jie pun pakai macam tu apa?

"Tapi semua banat pakai macam tu.. Akak pun.."

Kak Jie tersengih.

"Ada sebab kenapa diorang pakai macam tu. Nanti Fa akan tahu dan faham juga.. Sebab.."

"Sebab?"

****

Syurga itu ada seratus tingkatan. Seandainya Allah bagi peluang kita masuk syurga. Di mana tingkatan kita?

****

Langit nampak terang-terang mendung.

Zulfah berdiri mendongak langit. Angin perbukitan yang sesekali singgah melalui tasik di Darul Quran ini terasa amat menyejukkan.

Tadi baru habis usrah. Testing makan dalam talam ramai-ramai. Mula-mula kekok la jugak sebab tak biasa. Cukup ke makan ramai-ramai macam ni? Ada yang first makan dalam talam tu, kaut lauk sorang-sorang dia. Habis orang lain nak makan apa? Zulfah ketawa teringat.

Tapi di akhirnya, cukup sangat. Dan terasa kemanisan berukhuwwah tu bila makan bersama. Macam kak naqibah cakap tadi, nabi cakap, makan untuk seorang tu, cukup untuk dua orang, dan makanan untuk dua orang itu cukup untuk empat. Kata-kata nabi sentiasa benar.

Bintang nampak begemerlapan di langit.

"Hah, teringat siapa tu?"

Kak Jie menyergah menyentuh bahu Zulfah.

"Kak Jie!!"

Zulfah separuh menjerit. Tersentak kerana terkejut, keningnya berkerut sambil bibir menggigit geram. Kak Jie hanya ketawa nakal. Seronok dapat mengenakan sahabat sebiliknya.

Hish Kak Jie ni, pekena orang memang no satu. Sejak bila dapat penyakit sama macam abang ni?

"Nasib Fa tak dak lemah jantung.. Kalau tak mau jatuh dalam tasik ni dah.."

"You jump, I jump la.."

Kak Jie tersengih.

"Ye la tu.."

Zulfah tersenyum.

Jeti kayu yang dibina mengunjur ke tasik itu sesekali berayun perlahan. Simbahan lampu perang jalan menyebabkan bumi barakah ini tampak hening ditemani tasik, sekali gus memberi ketenangan untuk menghafal al-quran.

Beberapa orang banin kelihatan menaiki basikal, baru pulang dari masjid rasanya.

"Saja lihat langit. Dah tak lama nak masuk ramadhan kan?"

Zulfah kembali mendongak ke langit.

Awan berkepul-kepul, namun tak menghalang cahaya sang bulan.Langit sya'ban, yang tak lama akan menjadi langit sakinah Ramadhan.

Kak Jie sama-sama melangut ke langit.

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)"

Kak Jie membaca perlahan ayat albaqarah 185 itu perlahan secara hafazan. Merdu.

"Fa, Ramadhan ni.. Hadiah yang amat besar Allah anugerahkan pada kita.."

"Erm?"

Zulfah menoleh.

Kak Jie tersenyum.

"Berkat dalam berkat. SubhanAllah, berkatest.."

Haha. Mai mana pulak perkataan berkatest ni? By the way, betul kata Kak Jie, bulan Ramadhan adalah bulan Quran. Bulan berkat yang diturunkan pula padanya kitab yang berkat. Kira macam pakej lengkap lah.

"Fa ada niat nak jadi lebih baik kan? Akak pun sama. Waktu ni lah waktu yang paling sesuai untuk kita ada satu turning point. Waktu yang paling sesuai untuk kita rasa lebih baik. Allah tahu, lalu Allah beri kita Quran, emas yang amat bernilai."

Kak Jie menarik nafas, kemudian menyambung.

"Dan Ramadhan pula, sinar yang terang. Dalam Quran ada satu nilai yang tak terhingga, dalam Ramadhan pula, bulan diturunkan quran itu. Kira macam terbaik dalam terbaik la. Very shining gold.. Kan?"

Zulfah angguk.

Yup, dari catwalk pun boleh jadi Quranicwalk jika dalam hati ada niat nak berubah. Allah mesti tolong, kan?

"Peluang dah ada, ruang dah ada, cuma tinggal kita je lah kan, nak ke tak nak.."

Semua orang dapat Ramadhan, tapi berapa ramai yang berjaya 'capai' ramadhan tu. Ramai yang berlari, tapi ramai je yang dah tersungkur awal-awal.

Dan bila quran ni berusaha dicapai bersungguh-sungguh, disertai pula pada Ramadhan yang mulia, insyaAllah, kita memang sedang mendaki jalan Taqwa itu..

Itu pesanan kak naqibah tadi.

"Ramadhan dan Quran, jika ia benar dihayati. It's really a beautiful formula of Taqwa."

Zulfah dan Kak Jie tersenyum. Bintang terasa cerah di hati.

"Wonderful.."


****


“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

****

Ta-Taubat
Qaf-Qanaah
Wau-Wara'
Alif-


"Wara' adalah menggunakan setiap anggota yang Allah pinjamkan dengan penuh disiplin."

Zulfah menitikkan noktah selepas menyalin maksud wara' pada kertas A4 berbingkai bunga. Tulisan itu dibentuk kecil ditarik anak panah pada huruf arab yang bersimpul itu. Seketika, dahinya berkerut memikirkan sesuatu.

Adeh, alif last ni untuk apa ya?

"Kak Jie..! Alif ni untuk apa?"

Zulfah bertanya separuh melaung. Kak Jie yang sedang menjahit penutup niqabnya berhenti seketika.

"Alif untuk ikhlas macam Kak Jie.."

Kak Jie tersengih.

"Terima kasih daun keladi.."

Zulfah nampak gembira seraya menyambung menulis, sengaja tak mahu melayan omelan kakak sebiliknya itu. Bukan boleh layan sangat Kak Jie punya perasan ni. Nanti habis semua santan dia perah.

Kak Jie mencebik. Kurang asam betul tak layan aku.

"Siap!!"

Kertas A4 itu ditampal di depan meja belajar, nampak cantik. Zulfah tersenyum puas. Barulah tak lupa. Barulah hari-hari boleh tengok. Barulah setiap masa taqwa tu menjadi impian akhirat untuk selalu kita kejar.

"Astaghfirullah.."

Zulfah mengucap perlahan, seperti isyarat untuk langkah pertama. Untuk menuju jalan taqwa, taubat adalah syarat utama. Rasakan diri kerdil depan Tuhan, rasa diri selalu berdosa. Baru bunga-bunga taqwa tu bercambah di hati.

"Target Ramadhan ni?"

Kak Jie bertanya memegang bahu Zulfah.

Zulfah mengangguk tersenyum.

"Fa nak jadi lebih baik.. Nak capai La'alalkum tattaqun, dengan golden formula, Quran+ Ramadhan.."

Formula taqwa itu diulang penuh harapan.

"Yeah!! Jom jadi baik!!"

Kak Jie separuh melaung mengangkat tangan. Zulfah tergelak-gelak. Macam budak-budak lah pulak Kak Jie buat gaya ni.

"Chaiyok! Chaiyok!"

Zulfah turut meraikan.

****

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al-Baqarah: 183)

****

"Wah! Ustazah ranggi dah sampai!!"

Muka Zulfah kian merah. Penumbuknya digenggam kuat-kuat. Abang ni! Kalau tak sebab nak control ayu, dah lama ada orang makan beg free.

Majdi ketawa.

Hari ni mama dan papa datang melawat. Biasalah, kat tempat baru. Nak juga mengadu dan cerita apa yang berlaku. Semua orang pun macam tu. Tak ke?

"Hai, makin tembam anak mama ni.."

Zulfah tersengih.

"Makanan sini sedap-sedap la ma.."

Zulfah mencium tangan ibunya, kemudian di ikuti pipi dan dahi wanita itu. Kucupan itu beralih pula pada ayahnya.

Majdi menghulur tangan. Zulfah buat macam tak nampak je tangan tu. Biar je tergantung. Padan muka! Kata kat aku lagi.

Majdi menggigit bibir tersenyum. Merajuk pulak ka adik aku sorang ni..

"Patutlah abang tengok mendung je langit hari ni.. Rupanya puteri comel sorang ni merajuk..."

Zulfah tersenyum lebar. Pandai ayat orang ek?

"Maafkan kanda, Tuan Puteri Zulfah?"

Majdi mengangkat kening, menghulurkan tangan. Mengajuk suara macam cerita melayu lama yang tak ada kaler tu.

Haha. Abang aku putus fius..

"Senget.."

Senyuman Zulfah kian melebar. Tangan abangnya dicium.

"Ha.. Ni barulah boleh dapat award adik mithali.."

Zulfah menjelirkan lidah. Nasib la aku ni hati gula, senang je nak cair. Encik Zainudin dan isterinya hanya ketawa.

"How's life here by the way? Good? Better?"

"Best!"

Zulfah menggayut senyum menawan. Alah, dekat abang tak pe kan?

"Ceritalah.. Mama dan Papa nak dengar juga.."

Ibunya tersenyum, Encik Zainuddin mengambil tempat di sisi isterinya.

Zulfah kemudian semangat bercerita. Tentang berapa juzuk yang dia dah cuba hafal, tentang hidup di tempat baru, tentang ketenangan yang dirasakan mengalir di bumi yang sentiasa kedengaran alunan quran ini, dan tentang Kak Jie.

Majdi hanya menjadi Teddy Bear setia sambil tersenyum.

"Abang, kenapa diam je? Selalunya orang tak sempat cakap dah menyampuk. Ni sakit ke apa?"

Zulfah habis bercerita. Majdi ketawa.

"Tadi Fa ada sebut tentang ukhuwwah kuat la kat sini, silaturrahim la, kan?"

Zulfah angguk.

"So?"

"Err.. apa nama roommate Fa tadi?"

Aik abang ni, punya banyak orang cerita, itu pulak yang dia dapat.

"Kak Jie, Kak Nazirah.."

Zulfah mula musykil.

"Kirim salam kat dia yup.."

Majdi tersengih.

"Gatal!"

Majdi lebih ketawa.

****

P/s: ^^, maaf kerana cerita tak seberapa. Selamat menyambut ramadhan kareem. Bulan Ramadhan ni, kita cuba jadikan bulan quran bersungguh-sungguh. Memang bukan untuk bulan mulia ni sahaja, tapi moga-moga ianya menjadi pencetus kepada kita untuk jadi lebih baik. A turning point.

Cuba, insyaAllah. Mungkin setiap kali lepas solat 4 muka. Maka dapat satu juzuk sehari. Jika tak dapat, semuka pun tak apa, jika tak dapat, satu baris pun tak apa.

Tak semestinya khatam, asal dapat menghayati. Moga ia terus melekat di hati =) Salam Ramadhan Kareem untuk semua.

"Jika seandainya kita pernah melalui training-training sebelum ni, untuk melatih kepimpinan dan kepakaran. Maka ramadhan adalah training kita yg sebenar. 'Abdtrain. Latihan kehambaan. Yang mana jangka waktunya adalah sebulan. Lalu prosesnya sama, seandainya kita bagi commitment yang sebenar-benarnya, maka kita akan dapat objektif program tersebut. Taqwa dan malam penganugerahan lailatul Qadr.."