Followers

Letakkan link blog anda =)

Sunday, January 31, 2016

Aku mendung.


***

Aku mendung.

Menunggu hujan yang lebat dan rintisnya menenteramkan.
Menanti kapal-kapal belayar yang senantiasa mengheningkan.
Melihat laut berombak yang hamparannya tak bertebing tiada berpenghujung.
Dan camar-camar yang terbang di kala itu semua.

Aku, mencari diri aku semula.

Di bawah payung yang menahan ributan hujan,
Membasahkan wajahku, yang bercampur dengan air mataku.
Yang aku senang terpujuk untuk menangis tanpa henti.

Dalam rasa sakit yang entah apa batasnya aku tak pasti..

Sunday, January 24, 2016

Merpati Putih di Aya Sofea


~ Picture by https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Aya_Sofia,_Istanbul.jpg ~

****

Merpati putih itu terbang rendah. Mematuk sambil berputar di sekeliling kawannya yang sedikit berbeza warna.

Suasana itu melebarkan senyum pada Zehra yang melatari Aya Sophea. Petang yang awannya mencorak langit biru yang kian perang, sambil ditemani percikan air pancut di sekeliling pokok yang kian meredup.

"Nisilsim?"

"Iyim.."

Ibrahim terus berpusing kemudian mengembangkan jubahnya seolah-olah tarian sufi Sang Rumi, kemudian berhenti mengejut sambil mendepakan tangan lagak habis persembahan. Kopiah merahnya hampir-hampir terjatuh, dan dia cepat-cepat menekupnya dengan tangan.

Dia ketawa. Habis rosak persembahan.

Zehra juga terkekek senyum. Menahan tawanya dengan tangan yang berkelubung winter coat putih.

Dia bangun dari kerusi kayu di bawah lampu itu, mengoyak sedikit roti, kemudian menaburnya di tanah. Si merpati putih dan kawan-kawan berterbangan rendah mengerumun rezeki yang ada.

"İlk kez?"

Ibrahim bertanya. Zehra hanya memaniskan muka mengangguk.

"Evet.."

Ya, ini kali pertama di ke Turki. Dan di depan Aya Sophea ini tempat pertama yang dia lawati. Zehra menyeluk tangan ke poket. Dinginnya, sejuk yang amat.

Zehra menyeluruhi pemandangan di hadapannya, menghayati sepenuh rasa. Kemudian menghirup nafas dalam-dalam. Suaranya gemersik membisik perlahan,

"Kau tahu Ibrahim, Aya Sofea menjadi saksi Sultan Muhammed Al Fatih yang terkenal melayarkan kapal di bukitan, walau beribu tahun, hairan dan kagum itu masih tuntas menumbuh.

Adakah kau mendengarkan aku Ibrahim? Bumi ini sungguh sakti. Di sinilah Jalaludin Ar-Rumi membawa daerah Sufi dengan tariannya yang hingga kini bagi aku masih menjadi misteri. Iya, sudah pasti aku akan ke Konya.."

Zehra diam sebentar.

"Aku bukan saja-saja di sini Ibrahim, aku teringin tahu apa surat-surat cahaya yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi, sampai mana jiwanya mencakupi semua golongan termasuk wanita.. Ah, adakah kebetulan, dia di Turki? Aku pasti Aya Sofea juga termenung kebingungan.

Dan Kamal Attarturk, bapa pemodenan Turki yang terkutuk itu, kau belum ceritakan aku lagi tentang orang yang melawan kejahatannya, Adnan Menderes. Al-fateh moden. Cerita tentang kapal terbangnya yang terhempas dan azamnya, dan akhirnya dia syahid di tali gantung. Bukankah kau berjanji akan bercerita, Ibrahim?"

Ibrahim cuma tersengih. Zehra menyambut dengan senyuman.

"Aku di sini bukan saja-saja, Ibrahim.. Aku mahu tenggelam di dalamnya.. Di dalam Turki.."

Sekali lagi dia menghirup nafas dalam-dalam, menikmati petang Turki.

Dia kemudian menggalas beg yang dibawa. Melangkah setapak dua, bersedia untuk penerokaan yang lebih dalam dan bermakna. Kemudian berhenti berpaling.

"Kau tak nak ikut Ibrahim?"

Kali ini Ibrahim, si merpati putih itu tidak bersuara dan terus terbang rendah. Layaknya seekor burung. Mengibaskan-ngibaskan sayap saljunya yang terasa hening disimbah cahaya tenggelam matahari.

Aya Sofea. Merpati Putih. Ibrahim.

Zehra tersenyum.

"Tekrar görüşürüz!!"

****

Majdi Nadwan
1845
151116
Aya Sofea