Rainy nights by ~CMJZA of DeviantArt
****
Hujan membasahi jalan.
Hafiz memandu dalam kegelapan malam yang basah. Laju meluncur. Di sebelah, Muhsin sudah terlena. Izwar, Akif, dan Izzat di belakang juga sama. Sudah hanyut dibuai mimpi.
Benar-benar letih. Mereka baru pulang dari pengajian talaqqi kitab di Ba'lawi. Sanggup bersusah payah datang walau jauh. Hanya demi menuntut ilmu dan redha Allah.
Waktu itu 4.30 pagi.
Penglihatan Hafiz hanya tertumpu pada jalan yang semakin kelam.
Tiba-tiba..
Muncul satu kereta di hadapan secara tiba-tiba.
"Allahh!!"
Brek tidak sempat ditekan.
"BumM!!"
Kereta Viva itu merempuh laju menghentam kereta yang berada di hadapan.
Remuk.
Cecair merah pekat mengalir.
Pemuda-pemuda itu berlumuran darah.
Dalam cemas, Akif dan Izzat bergegas keluar dari kereta.
Hafiz cuba keluar dari kereta. Cuba membuka pintu. Tersangkut. Tiba-tiba ada orang menyentap pintu. Hafiz bergegas keluar.
Izwar? Muhsin? Sudah keluar kereta ke belum mereka?
"EEeekkk! Bummm!!"
"Bumm!!"
Dan terus tiga lagi kereta berturutan merempuh menghemtam kereta mereka. Membenamkan manusia di dalamnya tersepit dengan besi.
****
Saya sebak melihat Hafiz.
"InsyaAllah, ada hikmahnya semua ni.."
Hafiz hanya menutur perlahan.
Saya sudah tak dapat menahan air mata.
Wajah Hafiz yang sebelum ni tampan nampak sayu dengan jahitan pada matanya. Nampak besar cedera bengkaknya. Kakinya patah di bahagian lutut.
Dia cuba menyalam tangan saya dengan tangan yang cuba diangkat pelahan. Penuh kesan luka.
"Banyak bersabar Hafiz, semoga ganjaran pahala enta besar.."
Saya benar-benar sedih. Tak dapat melihat sahabat dalam keadaan sedemikian rupa. Cuba merasai apa yang mereka rasa.
Ya Allah, bantuni lah mereka ya Allah..
Saya minta diri sebentar dari Hafiz. Berhajat menemui sahabat yang lain.
Menemui Akif. Alhamdulillah. Hanya luka di bahagian kaki. Allah menyelamatkannya. Gembira melihat dia yang mampu tersenyum. Izzat pula dikerumuni sahabat-sahabatnya. Masih mampu duduk dan bersalam walau dalam keadaan lemah dan kaki yang patah.
Menjenguk Muhsin. Sekali lagi air mata tak dapat ditahan. Sahabat saya, Syahril di sebelah sudah kelihatan terlalu sebak.
Muhsin kelihatan amat lemah sekali. Terlalu lemah.
Dia patah 2 tulang di depan bahunya. Dan cedera pada Spinal Cord yang amat merbahaya.
Muhsin cuma dapat menyambut dengan wajah yang lemah, dan mata yang ingin pejam unuk berehat.
Ya Allah, terasa amat berat ujian ini.
Membiarkan Muhsin berehat, tidak mahu mengganggu.
Dan bersiap menapak ke wad ICU.
Izwar...
****
Saya menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari punca perasaan.
Sebak terus menyerbu cepat ke muka. Benar-benar tak dapat menahan. Saya menangis lagi. Lebih kuat, teresak-esak. Allah, Allah.. Ya Allah, berat ujian ini pada hambamu.
Melihat wajahnya membuatkan saya tak mampu lagi.
Wayar-wayar bersambung di sana sini. Bunyi hembusan nafas yang deras kedengaran dari mesin yang membantu. Salur-salur tiub membawa cecair merah hitam pekat keluar. Alat mesin menunjukkan denyutan nadi. Graf yang turun naik perlahan.
Izwar sudah benar-benar tidak seperti yang saya pernah kenal.
Walau di dalam matanya, masih ternampak cebisan darah yang keluar. Mulutnya. Wajahnya. Malah memerlukan mesin bantuan hayat. Ya Allah, bantulah sahabatku ini.
Di sisinya seorang muslimah yang pernah saya lihat. Membaca quran berdoa penuh setia. Menatapi saudara seagamanya penuh Ihsan. Meminta, moga Tuhan membantu. Moga Tuhan mempermudahkan.
Dan dalam tangis, aku berdoa bersamanya. Menghadap sahabat yang penuh luka dengan penuh derita.
Semoga Allah membantu. Sungguh, Allah maha dekat.
Sungguh, dalam ujian ini saya melihat Ukhuwwah yang amat besar..
****
-Belum habis menulis.
-Baru pulang dari Hospital Kuantan.
-UIA PJ.
-Mahalah Aisyah 3.05 am